
PENGGUNA platform media sosial, terutamanya TikTok, sering kali berkongsi pelbagai tip kecantikan yang pelik dan boleh memudaratkan kesihatan, termasuklah trend terbaharu yang menyaksikan ramai menyapu krim buasir di bawah mata.
Trend yang semakin tular itu menyaksikan pengguna media sosial, terutamanya wanita, berkongsi tip menyapu krim buasir seperti Preparation H di bahagian bawah mata kononnya untuk menegangkan kulit.
Pada masa sama,ada yang mendakwa penggunaan krim tersebut mampu mengurangkan lebam di bawah kantung mata tanpa perlu berkunjung ke klinik pakar.
Menurut mereka, krim tersebut dikatakan memberi kesan seolah-olah rawatan under-eye filler, iaitu rawatan kosmetik tanpa pembedahan yang biasanya digunakan untuk mengurangkan lingkaran hitam dan kekosongan bawah mata.
BACA LAGI : Ada 5 cara, ibu bapa bimbing anak-anak kawal 'anxiety' dengan lebih sihat
BACA LAGI : Mitos dan info palsu vaksin antara cabaran lindungi warga emas, golongan dewasa
Bagaimanapun, pakar dermatologi tampil memberi amaran keras tentang risiko trend tersebut.
Pakar kulit yang berpangkalan di New York, Dr. Shereene Idriss, menyifatkan penggunaan krim buasir sebagai bahan kosmetik sebagai tindakan berbahaya.
Jelasnya, beberapa jenis krim tersebut mengandungi bahan aktif phenylephrine dan steroid yang boleh menjejaskan kesihatan mata.
"Penggunaan krim yang mengandungi phenylephrine bersama steroid di kawasan mata boleh meningkatkan risiko glaukoma," katanya menerusi satu hantaran di TikTok.
Tambahnya, krim steroid juga boleh memburukkan penampilan kulit dengan menyebabkan kedutan kelihatan lebih ketara dan menjadikan kawasan sekitar mata kelihatan kemerahan dan mengecut.
Seorang lagi pakar dermatologi dari New York, Dr. Mark Strom, turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi krim buasir yang mengandungi hydrocortisone.
Jelasnya hydrocortisone merupakan sejenis steroid sapuan yang boleh menipiskan kulit jika digunakan secara berterusan dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, Dr. Idriss mencadangkan penggunaan krim ruam lampin seperti diaper rash cream atau butt paste sebagai alternatif lebih selamat untuk menenangkan kulit sekitar mata.
Antara produk yang disyorkannya ialah Triple Paste, yang mengandungi 12 peratus zink oksida, tepung jagung dan ekstrak biji oat.
"Zink oksida dan ekstrak oat bertindak sebagai bahan anti-radang semula jadi, manakala tepung jagung pula membantu menyerap minyak berlebihan pada kulit," jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tip atau helah kecantikan yang tular di media sosial.
"Sebelum mencuba sebarang trend dalam talian, dapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu,” tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram