Nasib guru terpaksa huni kuarters usang, tiap bulan kena potong gaji


  • Massa
  • Ahad, 11 Mei 2025

Jaafar menunjukkan lubang pada siling sebuah unit terbiar di kuarters guru di Johor Bahru. — THOMAS YONG/The Star

KEROSAKAN siling, pendawaian elektrik tidak selamat, malah gangguan haiwan liar seperti babi hutan menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi guru-guru yang menetap di kuarters kediaman guru yang semakin usang dan tidak disenggara.

Meskipun dikenakan potongan gaji antara RM150 hingga RM320 bergantung kepada gred perkhidmatan, guru-guru mendakwa tiada penyelenggaraan signifikan dijalankan sejak bertahun-tahun lalu.

Seorang guru seni yang hanya dikenali sebagai Hassan, 58, berkata, setiap kali berlaku ribut petir, beliau dan penghuni lain terpaksa menutup semua peralatan elektrik bagi mengelakkan kerosakan akibat sistem pendawaian yang rosak dipercayai kesan daripada kejadian kecurian kabel sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

BACA LAGI : [VIDEO] Suami isteri parah dirempuh pikap langgar lari di NKVE

BACA LAGI : [VIDEO] 'Biar miskin, jangan jadi scammer', mangsa kongsi pengalaman ditipu menerusi pautan WhatsApp

“Tiada pengawal keselamatan yang ditempatkan di kompleks ini, malah beberapa aduan telah dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri berhubung siling runtuh dan bumbung bocor, namun tiada tindakan diambil.

“Kami dimaklumkan tiada peruntukan, tetapi jika benar begitu, mengapa potongan tetap terus berjalan?” katanya ketika ditemui pada Sabtu. 

Menurut seorang lagi guru Matematik, hanya mahu dikenali sebagai Awie, kawasan perumahan berkenaan juga sering diganggu haiwan liar termasuk anjing, babi hutan dan monyet.

“Tahun lepas, kami terpaksa menggantikan keseluruhan karpet surau bernilai RM12,000 selepas babi hutan membuang najis di atasnya,” katanya.

Katanya, beliau tiada pilihan selain terus tinggal di situ berikutan masalah kewangan dan kesihatan isterinya yang diserang angin ahmar.

“Saya perlu tinggal berhampiran tempat kerja dan tidak mampu menyewa di tempat lain memandangkan kos sara hidup di Johor sangat tinggi,” katanya.

Kuarters itu yang dibuka pada tahun 2004 pada asalnya dianggap rumah idaman bagi guru-guru yang dipindahkan ke Johor kerana lokasinya berhampiran sekolah di kawasan bandar.

Namun, menurut seorang penduduk lama, Jaafar, kini terdapat banyak unit yang terbiar dan tidak boleh disewakan kepada penyewa baharu kerana keadaannya terlalu daif.

Pengerusi Kebangsaan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta, Datuk Yahya Jaafar berkata, banyak kuarters kerajaan di Johor sudah tidak lagi memenuhi piawaian perumahan semasa dan sebahagiannya tidak dicat semula lebih 20 tahun.

“Dengan keadaan yang begitu daif, tidak hairanlah guru-guru muda enggan menetap di kuarters ini,” katanya.

Meskipun dikenakan potongan gaji antara RM150 hingga RM320 bergantung kepada gred perkhidmatan, guru-guru mendakwa tiada penyelenggaraan signifikan dijalankan sejak bertahun-tahun lalu. — Gambar Hiasan

Kondisi lebih buruk di pedalaman Sabah

Di Keningau, Sabah, seorang guru yang baru dipindahkan ke daerah itu Oktober lalu terkejut apabila diberi rumah kerajaan yang keadaannya seolah-olah sebuah rumah kongsi pekerja buruh.

Guru terbabit hanya mampu bertahan seminggu sebelum rayuannya untuk berpindah ke flat guru diluluskan. Difahamkan, rumah yang ditinggalkan itu terus terbiar kerana bekalan elektrik telah dipotong, meskipun punca sebenar tidak diketahui.

Kondisi kehidupan guru-guru di kawasan pedalaman Sabah pula lebih mencabar apabila ada antara mereka terpaksa tinggal di kuarters yang sangat daif tanpa kemudahan asas.

Antara kisah paling menyayat hati melibatkan bekas guru besar, George Odol, yang terpaksa menetap dalam stor sekolah bersaiz hanya 2.74m x 4.87m selama hampir tiga tahun, sambil berkongsi dapur dan tandas sekolah bersama guru-guru lain.

George yang bersara pada November 2023, mengambil keputusan itu bagi memberi peluang kepada guru bukan tempatan untuk mendapat kuarters yang sangat terhad bilangannya.

Kisah beliau mencetuskan perhatian ramai dan menyerlahkan lagi masalah kemudahan perumahan guru yang tidak mencukupi di kawasan luar bandar Sabah.

Walaupun kerajaan negeri mengakui wujudnya isu ini, usaha penambahbaikan masih berjalan perlahan. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini menegaskan bahawa penambahbaikan kemudahan kediaman guru di kawasan pedalaman adalah antara keutamaan kementerian. — The Star/REMAR NORDIN dan REBECCA CHONG 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram