Cenderung guna tangan kiri tapi bukan kidal, 10 fakta menarik golongan ambidextrous, sama seperti Albert Einstein


  • Sihat
  • Rabu, 21 Mei 2025

Keupayaan ambidextrous bukan semata-mata kebolehan fizikal, sebaliknya turut mencerminkan keseimbangan penggunaan antara otak kiri dan kanan. — Gambar hiasan

DALAM dunia yang kebanyakannya didominasi oleh golongan dominan penggunaan tangan kanan, individu ambidextrous, iaitu mereka yang boleh menggunakan kedua-dua tangan dengan tahap kecekapan sama merupakan golongan yang sangat jarang ditemui. 

Kumpulan ini bukan sekadar boleh menulis atau melukis dengan tangan kiri dan kanan, tetapi turut memiliki struktur otak unik dan seringkali berkait rapat dengan pelbagai kebolehan luar biasa lain.

Keupayaan ambidextrous atau diterjemahkan sebagai ambidekstrus dalam bahasa Malaysia bukan semata-mata kebolehan fizikal, sebaliknya turut mencerminkan keseimbangan penggunaan antara otak kiri dan kanan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Anak muda Kuantan bukan setakat 'restore' topi, malah gamit semula kenangan sentimental pelanggan termasuk dari UK-AS

BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah

Dalam sesetengah kes, ambidexterity berkembang hasil daripada latihan atau keadaan tertentu, seperti kecederaan tangan dominan atau tekanan sosial terhadap penggunaan tangan kiri, khususnya pada zaman dahulu.

Walaupun kelihatan seperti satu kelebihan, menjadi ambidextrous juga hadir dengan cabaran tersendiri. 

Kajian menunjukkan bahawa individu ini mungkin mempunyai risiko lebih tinggi terhadap gangguan neuropsikologi tertentu dan tidak semestinya cemerlang dalam bidang akademik. 

Namun begitu, dari aspek kreatif dan fizikal, mereka sering menonjolkan kebolehan yang unik.

Berikut adalah senarai menarik tentang sifat-sifat unik individu ambidextrous:

1. Mereka Sangat Jarang Ditemui

Hanya kira-kira 1 peratus daripada populasi dunia adalah tergolong dalam kumpulan ambidextrous.

Meskipun ramai individu dominan tangan kiri boleh menggunakan tangan kanan dalam beberapa situasi, tetapi mereka masih tidak dianggap benar-benar ambidextrous.

2. Terdapat beberapa variasi

Ambidexterity menunjukkan bahawa kedua-dua belah otak iaitu kiri dan kanan seseorang adalah lebih simetri. — Agensi

Bentuk ambidexterity paling jarang ditemui ialah apabila seseorang boleh menggunakan kedua-dua tangan dengan tahap kemahiran tinggi dalam semua situasi. 

Ia dikenali sebagai “ambidextral.” Ada juga individu yang menggunakan tangan kanan untuk sesetengah tugas dan tangan kiri untuk yang lain. 

Satu lagi istilah, “ambisinistral,” merujuk kepada individu yang tiada tangan dominan, tetapi kedua-dua tangan mereka juga tidak begitu cekap seperti tahap kemahiran tangan kiri bagi seseorang yang bertangan kanan.

3. Ia berkait dengan struktur otak

Ambidexterity menunjukkan bahawa kedua-dua belah otak iaitu kiri dan kanan seseorang adalah lebih simetri. 

Ia juga berlaku kepada individu dominan tangan kiri. 

Sebaliknya, kebanyakan orang dominan tangan kanan adalah dominan otak kiri.

4. Ramai bermula sebagai orang kidal

Disebabkan struktur otak yang serupa, ramai ambidextrous bermula sebagai individu dominan tangan kiri. 

Sejarah menyaksikan tekanan terhadap golongan kidal, yang sering dikaitkan dengan kepercayaan negatif. 

Oleh itu, ramai dipaksa menggunakan tangan kanan dan secara tidak langsung membentuk keupayaan menggunakan kedua-dua tangan.

5. Akademik bukan kekuatan utama mereka

Daripada aspek kreatif dan fizikal, individu ambidextrous sering menonjolkan kebolehan yang unik. — Agensi

Kajian menunjukkan individu ambidextrous cenderung lebih cemerlang dalam aktiviti fizikal berbanding akademik. 

Dalam satu kajian di Finland, pelajar ambidextrous didapati lebih berisiko menghadapi kesukaran dalam subjek seperti matematik dan bahasa.

6. Mempunyai kaitan dengan ADHD

Dalam kajian yang sama, remaja ambidextrous dan kidal didapati dua kali ganda lebih berisiko menunjukkan tanda-tanda Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau ADHD berbanding yang dominan tangan kanan. 

Malah, mereka yang telah didiagnosis turut menunjukkan simptom lebih serius.

7. Turut berdepan risiko schizophrenia 

Gen LRRTM1 yang dikaitkan dengan individu dominan tangan kiri turut meningkatkan risiko terhadap penyakit skizofrenia. 

Oleh kerana otak orang kidal dan ambidextrous mempunyai persamaan, risiko terbabit juga dikongsi bersama.

8. Mahir dalam pelbagai bidang

Ambidexterity memberikan kelebihan dalam seni, muzik dan sukan. 

Tokoh terkenal seperti Leonardo da Vinci, Albert Einstein dan Benjamin Franklin adalah antara individu ambidextrous. 

Atlet seperti LeBron James dan Michelle Kwan juga terkenal dengan kebolehan menggunakan kedua-dua tangan.

9. Emosi mereka lebih fleksibel

Satu kajian dari Montclair State University mendapati individu ambidextrous lebih mudah dipengaruhi oleh persekitaran emosi mereka. 

Mereka mengalami perubahan emosi lebih cepat berbanding mereka yang dominan tangan kanan.

10. Sering Berkait dengan Synesthesia

Ambidextrous juga lebih cenderung mengalami synesthesia, iaitu keadaan otak unik yang mana deria bercampur.

Misalnya, individu yang berada dalam keadaan ini boleh mendengar warna atau merasai bunyi. 

Ini kerana struktur otak mereka yang lebih seimbang serupa dengan mereka yang menghidap synesthesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram