[VIDEO] 'Demi ibu saya sanggup lepas segalanya,' anak perempuan rela hati cukur rambut, tangguh pengajian demi teman ibu lawan kanser


  • Cinta
  • Rabu, 21 Mei 2025

Gree (gambar kecil) sanggup melepaskan impian menyambung pengajian demi menjaga ibu tercinta.

DI dunia ini, tiada yang dapat menandingi kasih anak terhadap ibunya.

Itulah dibuktikan oleh seorang gadis berusia 22 tahun apabila memilih untuk melepaskan segalanya demi menemani ibu yang sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser.

Kisah itu tular setelah dimuat naik di laman Instagram, Humans of Bombay sehingga menyentuh hati ribuan warga maya.

BACA LAGI: Ramai suami tak tahu, ibu susukan anak berhak terima upah — Kaunselor Laktasi

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar cinta! Si bujang 'take note' nasihat orang berpengalaman sebelum dirikan rumah tangga

Dalam catatannya, gadis itu, Gree menceritakan detik hitam yang merubah seluruh hidupnya iaitu ibunya disahkan menghidap kanser dalam waktu tiga hari sebelum beliau berlepas ke luar negara bagi menyambung pengajian peringkat sarjana.

"Saat itu, saya tahu, saya takkan tinggalkan ibu. Tak mungkin saya pergi ke mana-mana dalam keadaan ibu begini.

"Dunia saya runtuh, tapi saya pilih untuk duduk dan pegang tangan ibu ," kata Gree.

Ketika rakan-rakannya sibuk membina masa depan, beliau reka hati menunda impian.

Dari pagi hingga malam, hidupnya hanya berputar antara katil hospital dan ruang tamu rumah demi menjaga ibu sepenuh masa.

Selama tujuh bulan Gree menyaksikan wanita yang menjadi tulang belakang hidupnya perlahan-lahan mulai lemah kerana penyakit kanser.

Paling menyayat hati, katanya, adalah apabila melihat ibunya mula mengalami rambut gugur.

"Saya tak sanggup tengok ibu pandang cermin dan menangis setiap hari. Jadi saya panggil tukang gunting ke rumah.

"Waktu rambut gugur ke lantai, saya cuma duduk dan tahan air mata. Tapi dalam diam, saya berjanji apabila ibu sembuh, saya akan cukur rambut saya juga. Itu nazar saya," katanya.

Janji itu bukan sekadar simbol. Ia adalah doa yang diam-diam disematkan dalam hati iaitu satu pengorbanan kecil berbanding apa yang telah dilalui oleh ibunya.

Ketika kesakitan menjadi teman harian, ibunya pernah memandangnya dan berkata, "Kau dah korbankan semuanya kerana mak... tapi ibu tak pasti akan okay.”

Gree membalas sambil memeluknya erat berkata, “Saya tak perlukan apa-apa pun. Asalkan ibu masih hidup itu dah cukup.”

Setelah dua tahun bertarung dengan rawatan kemoterapi dan beberapa pembedahan besar, ibunya pulih.

Menjelang ulang tahun ke-25, Gree menunaikan janji mengunjungi kuil di Tirupati dan mencukur rambut yang dianggap bukan kerana terpaksa, tetapi demi cinta.

Ibunya cuba menahan dengan berkata, “Tak perlu buat begini”.

Tetapi bagi Gree, ia bukan pilihan tetapi satu penghormatan tertinggi buat seorang ibu yang telah berjuang dengan seluruh jiwanya.

“Itu detik paling suci dalam hidup saya. Saya lakukan bukan untuk simpati, tapi sebagai tanda syukur dan kasih sayang yang tak akan pernah cukup saya balas.”

Kini, si ibu sering berkata, “Aku takkan mampu bertahan kalau bukan kerana anak aku."

Gree mengetahui mereka sebenarnya saling menguatkan antara satu sama lain.

Kerana bagi Gree, cinta terhadap ibu bukan sekadar ungkapan tetapi adalah satu semangat untuk terus hidup.

“Ibu adalah dunia saya. Dan saya akan lakukan segalanya demi dia seperti ibu pernah lakukan untuk saya sepanjang hidup ini," kata Gree. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram