
DI Malaysia, Naza Group merupakan antara syarikat tempatan yang terkenal sebagai pengedar kenderaan antarabangsa bagi pasaran automotif tempatan.
Daripada kenderaan biasa hingga mewah, hampir kebanyakan jenama import pernah memberikan kepercayaan hak mengedar kepada syarikat diasaskan Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.
Senarainya meliputi Kia, Peugeot, Citroen, Ferrari, Maserati, Lamborghini, Chery dan termasuk Mercedes-Benz.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Bagaimanapun, usaha bagi membangunkan Naza Group adalah merupakan satu kisah mencerminkan semangat keusahawan dipacu bersama misi yang jelas.
Permulaan berani
Memiliki minat yang mendalam terhadap dunia automotif sejak di bangku sekolah, Nasimuddin yang merupakan anak kelahiran Kuala Pilah menubuhkan Naza Group pada 1975 ketika usianya baru mencecah 21 tahun.
Pada waktu itu, modal yang dikeluarkan bukan kecil iaitu kira-kira RM80,000 hasil daripada simpanan pendapatan diperoleh daripada membantu syarikat kontraktor milik ayahnya.
Dengan modal tersebut, beliau mula membeli 20 lesen AP dan terbang ke Jepun.
Di sana, SM Nasimuddin, menghabiskan masa selama tiga bulan di sana dan membawa masuk 20 unit pertama kereta Jepun terpakainya, yang dijualnya dalam masa tiga bulan.
Nasimuddin bersama antara kereta yang diperkenalkan syarikatnya untuk pasaran tempatan. — Naza Corporation Holdings
Sebagai permulaan, Nasimuddin memulakan perniagaan automobilnya dengan menjual 10 hingga 15 unit kereta setiap bulan di sebuah kedai di Taman Maluri.
Pada 1979, beliau membuka cawangan di Kampung Baru, Kuala Lumpur secara runcit dan menjual 40 hingga 60 buah kereta setiap bulan.
Pada tahun-tahun awal itu, Nasimuddin dilihat sudah menunjukkan kepintaran perniagaannya apabila mengambil keputusan mengimport kereta Jepun terpakai pada ketika waktu kereta Jepun begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, beliau menghadapi beberapa cabaran termasuk pembiayaan dan cara meyakinkan pelanggan untuk membeli kereta terpakai apabila ramai ketika itu tidak berminat dengan kereta asing.
Tetapi semangat dan kepercayaannya dalam perniagaan mendorongnya untuk berjaya.
"Untuk berjaya anda mesti suka apa yang anda lakukan dan anda mesti tahu apa yang anda lakukan.
"Anda mesti merancang lebih awal dan mempunyai hala tuju.
"Dalam perniagaan anda mesti bermula dari kecil, belajar segala-galanya dan pergi selangkah demi selangkah," katanya dalam satu temu bual.
Nasimuddin (depan, kanan) bersama Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. — Naza Corporation Holdings
Walaupun berjaya dalam menjalankan perdagangan kenderaan, Nasimuddin tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian diperolehinya.
Beliau mempunyai impian untuk memperluas perniagaannya dengan menjadi pengedar tunggal untuk jenama global dan menjadi syarikat pemasangan automotif.
Pada penghujung 1990-an, separuh impian Tan Sri SM Nasimuddin menjadi kenyataan apabila Kia Motors Corporation dari Korea Selatan melantik anak syarikat Naza Group, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, sebagai pemegang francais bagi jenama tersebut di Malaysia.
Pada 2001, Naza Kia Malaysia mula terlibat dalam industri pemasangan automotif dengan memperkenalkan Kia Spectra.
Langkah pemasangan dilaksana melalui perjanjian pengeluaran kontrak dengan pengeluar automotif tempatan.
Pada 2002, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (NAM) ditubuhkan dengan pembinaan kilangnya di Gurun, Kedah selesai ada 2003.
Pada Mei 2004, NAM memulakan operasi di Gurun dengan pengeluaran model Ria, yang kemudiannya menjadi peneraju pasaran dalam segmen MPV domestik dengan pasaran 40 peratus.
Perluasan cabang perniagaan
Selain industri automotif, Nasimuddin juga menerajui Naza Group ke dalam industri pembangunan hartanah dan pengurusan hotel yang sangat menguntungkan.
Pada 2002, Naza Group memulakan perniagaan pengurusan hotelnya dengan memperoleh sebuah hotel di Pulau Pinang.
Selepas berjaya bertapak dengan kukuh dalam bidang automotif, Naza Group turut mengembangkan perniagaannya dalam bidang hartanah. — Naza Corporation Holdings
Susulan itu, kumpulan terbabit mengembangkan perniagaan ke hotel di Johor Bahru dan Melaka.
Di luar Malaysia, Naza Group sebelumnya memperoleh Crowne Plaza Los Angeles dan Howard Johnson Inn Torrance di California, Amerika Syarikat pada akhir 90-an.
Pengurusan hotel-hotel terbabit diambil alih oleh Naza Group masing-masing pada 2005 dan 2006.
Pada 2004, Naza Group memperoleh TTDI Development Sdn Bhd yang sejak itu telah menjadi salah satu pemaju hartanah terkemuka negara.
Selepas pemergiannya pada 1 Mei 2008 akibat kanser paru-paru di Los Angeles, California, teraju syarikat diteruskan oleh keluarganya termasuk dua anaknya SM Nasarudin dan SM Faliq SM Nasimuddin yang memegang jawantan penting dalam pengurusan syarikat.
Naza Group juga meluaskan portfolinya ke sektor baharu sepeti pengurusan sisa menerusi pemerolehan Berjaya Enviro Holdings, infrastrukrur telekomunikasi (Premium Radius) dan pelaburan strategik (Naza Global Investments).
Menurut laporan The Edge, Naza Corporation Holdings mencatatkan jumlah aset sebanyak RM4.92 bilion pada akhir Disember 2018 dengan jumlah liabiliti sebanyak RM2.17 bilion, iaitu RM1.76 bilion daripadanya merupakan hutang jangka pendek.
Sementara itu, laporan kewangan disediakan platform penyedia data dan analisis kewangan Emerging Markets Information Service (EMIS) menunjukkan Naza mencatatkan pertumbuhan tahunan ketara pada 2023.
Ia termasuk peningkatan keuntungan bersih sebanyak 1907.78 peratus, pertambahan aset (53.2 peratus) dan kenaikan ekuiti keseluruhan (27.71 peratus). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram