
BERMULA dengan menjual pakaian terpakai di tepi jalan, seorang pemuda dari Kuantan, Pahang kini menjadikan perkhidmatan membaik pulih (restoration) topi lama sebagai sumber pendapatan sampingan.
Mohamed Faisal Mohamed Khalid, 37, menarik perhatian peminat topi tempatan menerusi akaun TikTok, cap.village yang menunjukkan kemahirannya untuk membaik pulih topi lama.
Malah, tidak sampai beberapa bulan berkongsikan mengenai khidmat tersebut, beliau juga terpaksa menutup pengambilan tempahan membaik pulih yang disediakan buat sementara waktu kerana kekangan tenaga kerja.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
“Saya memang suka berniaga sejak belajar di UiTM lagi, masa itu saya jual pakaian 'bundle'. Selepas tamat belajar, saya mula berniaga tepi jalan di Teluk Cempedak (Kuantan) dan dari situ minat saya dalam bidang fesyen dan fotografi berkembang,” katanya yang cukup meminat bidang perniagaan, muzik dan fesyen sejak dari zaman belajar.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang sains sukan di UiTM Arau sekitar 2008, Mohamed Faisal pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan selain pakaian terpakai.
Mohamed Faisal bersama koleksi topi terpakai yang berada di kedainya di Kuantan.
Ia termasuk menjalankan operasi studio fotografi dan terlibat dengan penggambaran fesyen di Kuala Lumpur.
"Saya juga pernah buka studio fotografi dan buat penggambaran fesyen termasuk dengan (Datuk Seri) Bernard Chandran.
"Daripada situ juga saya belajar hasilkan kandungan kreatif dan mula libatkan diri dalam produksi video untuk perkahwinan dan korporat.
Idea untuk menyediakan perkhidmatan membaiki semula topi tercetus apabila beliau mendapati banyak topi terpakai yang dijual dalam keadaan penyek dan lusuh.
“Saya belajar sendiri dari YouTube, terutamanya video dari Jepun. Saya beli alat khas seperti steamer dari China semata-mata nak bagi topi nampak elok semula sebelum dijual.
"Tapi tak sangka, bila saya buat konten pasal proses restoration ni, ramai pula yang berminat,” katanya.
Menurut Mohamed Faisal, pelanggan yang menghantar topi untuk dibaik pulih bukan sahaja dari Malaysia, malah ada juga dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang mengetahui perkhidmatannya melalui video TikTok.
Mohamed Faisal sedang melakukan kerja membaik pulih topi di kedainya.
“Ada yang hantar sebab topi tu ada nilai sentimental. Seorang kakak pernah minta saya restore topi arwah suaminya.
"Kemudian, ramai yang komen, ‘kalau tahu boleh restore, dah lama aku simpan’.
"Jadi saya anggap ini bukan sekadar servis, tapi juga bantu orang simpan kenangan,” katanya.
Katanya, untuk servis cucian dan membentuk semula (reshape) topi, caj dikenakan ialah RM20, manakala untuk proses mewarna semula agar kelihatan seperti baharu, caj antara RM50 hingga RM70 bergantung pada keadaan topi.
Namun, Mohamed Faisal mengakui proses tersebut agak memakan masa, terutama bagi topi yang warnanya mudah luntur.
Mohamed Faisal mengakui proses membaik pulih topi kadang kala memerlukan masa agak lama khususnya bagi yang memerlukan pewarnaan semula.
“Kalau setakat basuh dan reshape, saya boleh siapkan 10 topi sehari. Tapi kalau melibatkan pewarnaan, paling banyak pun tiga topi sehari sebab nak buat dengan teliti,” jelasnya.
Buat masa ini, beliau menghentikan pengambilan tempahan kerana jumlah pelanggan terlalu ramai.
“Saya ingatkan buat konten saja, rupanya orang betul-betul hantar topi. Dalam senarai menunggu ada lebih 30–40 tempahan,” katanya yang kini tinggal di Kuantan bersama isteri dan dua orang anaknya yang masing-masing berusia enam dan dua tahun.
Ujarnya, meskipun melakukan secara sambilan, beliau boleh memperolehi pendapatan kasar mencecah RM200 sehari daripada perkhidmatan tersebut.
Selain menjalankan servis cap restoration secara sambilan, Faisal kini bekerja sepenuh masa sebagai pencipta kandungan untuk sebuah syarikat barangan memancing menerusi akaun TikTok, abeykumpau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram