
ISU kanak-kanak tanpa kewarganegaraan bukanlah perkara baharu di Malaysia tetapi sehingga kini, penyelesaiannya masih samar.
Kanak-kanak tersebut, yang dilahirkan oleh ibu tidak berkahwin, pelarian atau golongan terpinggir membesar dalam keadaan tidak mempunyai akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan undang-undang.
Tanpa sijil kelahiran sah atau dokumen pengenalan, mereka kekal seolah-olah ‘tidak wujud’ di mata negara.
BACA LAGI: 'Baby blues', kewarganegaraan antara faktor pemerdagangan anak angkat berleluasa — Aktivis
BACA LAGI: [VIDEO] Kerajaan gugur cadangan pindaan perlembagaan kewarganegaraan kanak-kanak
Namun, di sebalik krisis tidak berkesudahan ini, masih wujud insan-insan berhati besar yang tampil memikul tanggungjawab demi mengubah nasib golongan terpinggir tersebut.
Datuk Dr Hartini Zainudin antaranya, susuk yang mendedikasikan lebih tiga dekad hidupnya memperjuangkan hak dan masa depan kanak-kanak terabai, tanpa dokumen dan tidak bernegara.
Pengasas bersama Yayasan Chow Kit (YCK) itu menyediakan perlindungan, pendidikan alternatif dan sokongan psikososial kepada kanak-kanak berisiko di kawasan bandar.
Hartini menyediakan perlindungan, pendidikan alternatif dan sokongan psikososial kepada kanak-kanak berisiko di kawasan bandar.
Beliau juga merupakan penggerak utama di sebalik inisiatif Madhya’s Gift, sebuah dana kesihatan kecemasan di bawah YCK bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Lebih daripada sekadar aktivisme, Hartini baru-baru ini memperluas perjuangannya melalui penulisan dengan penerbitan buku sulung berjudul The Foundling.
Kisah dalam bentuk puitis itu mengetengahkan perjalanan hidup sebenar seorang kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, identiti dan tempat bergantung, namun akhirnya bangkit dengan semangat, harapan serta ketabahan.
“Dengan kasih sayang, keluarga dan harapan, langit bukan lagi had,” katanya ketika sesi pelancaran buku The Foundling yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.
Sewaktu pelancaran, Hartini sempat membacakan beberapa petikan terpilih daripada buku tersebut.
Hartini turut berkongsi latar belakang penulisan buku tersebut, yang lahir daripada kekecewaan terhadap status quo berhubung isu kerakyatan dan penjagaan anak-anak tanpa dokumen di Malaysia.
“Kebenarannya, pindaan yang dicadangkan tahun lalu tidak menyelamatkan sesiapa. Apa yang tinggal ialah status quo dan itu tidak mencukupi,” tegas lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monitoring and Assessment (Education) daripada Columbia University, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.
Buku tersebut lahir daripada kekecewaan berhubung isu kerakyatan dan penjagaan anak-anak tanpa dokumen di Malaysia.
Anak angkat
Beliau turut berkongsi latar belakang penulisan buku tersebut, yang lahir daripada kekecewaan terhadap status quo berhubung isu kerakyatan dan penjagaan anak-anak tanpa dokumen di Malaysia.
Kebenarannya jelas Hartini, pindaan yang dicadangkan tahun lalu tidak menyelamatkan sesiapa.
"Apa yang tinggal ialah status quo dan ia tidak mencukupi,” katanya.
Menurutnya lagi, pengalaman menjaga anak angkat menyaksikan betapa panjang dan sukar proses mendapatkan status sah untuk anak-anak tanpa dokumen.
“Anak saya sendiri mengambil masa 11 tahun untuk mendapatkan kewarganegaraan, ini bukan penyelesaian,” jelas beliau.
Dalam suasana penuh emosi, Hartini mengimbau bagaimana sejak 2004, beliau sering dihubungi golongan ibu yang tidak mampu menjaga anak-anak mereka.
"Jadi saya sendiri turun padang untuk mengambil kanak-kanak berkenaan, mengasuh, membawa mereka ke hospital kerana tiada siapa mahu atau mampu lakukan,” kongsinya.
Para tetamu yang hadir di majlis pelancaran turut berpeluang membeli buku tersebut pada harga RM50, dengan kesemua hasil jualan disalurkan kepada Madhya’s Gift.
Buku tersebut juga kini boleh didapati di Duke Museum of Picture Book Art. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram