Pelajar mudah beli tuala wanita guna mesin layan diri


  • Sihat
  • Khamis, 09 Mei 2024

Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid untuk menangani kemiskinan haid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor.

BUAT pertama kalinya di Malaysia, dua buah sekolah dan sebuah hospital memasang mesin layan diri Atlas Vending sebagai inisiatif untuk menangani kemiskinan haid.

Sebanyak 600 penerima dari Sekolah Menengah Sains Selangor (S.M.S.S), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak (S.M.K.B.T.R) akan menerima kad yang membenarkan mereka untuk menerima satu pek kebersihan haid percuma setiap bulan melalui inisiatif ini.

Bagi memastikan rangkaian yang meluas dan efektif, sebuah lagi mesin akan dipasang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) yang dahulunya dikenali sebagai HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Cheras di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Perantau Hijau Kuning beraya sakan di padang bola, eratkan silaturahim ahli Kelab Kedah Serata-rata

BACA LAGI: Ketumbit mitos intai orang, rupanya boleh jadi petanda awal kanser

WhatsApp Image 2024-05-07 at 6.42.04 PM

Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid untuk menangani kemiskinan haid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan beranggapan bahawa masih terdapat banyak komuniti yang mengalami masalah untuk membeli produk kebersihan.

"Segelintir wanita hanya mampu gunakan kain buruk atau kertas semasa mengalami haid yang mengundang rasa malu dan menyebabkan mereka memilih untuk tidak datang ke sekolah," katanya.

Lebih menyedihkan, kajian yang pernah dibuat menunjukkan bahawa kitaran haid masih belum diterima secara sepenuhnya yang mendorong perlunya memupuk persekitaran yang selamat buat kanak-kanak perempuan.

Jadi, langkah memperkenalkan Atlas Vending di sekolah merupakan cara terbaik untuk memahami situasi kemiskinan haid dan stigma terhadapnya di Malaysia.

Untuk menggunakan mesin ini, pelajar hanya perlu menggunakan sistem kad akses untuk mengeluarkan pek tuala wanita percuma bagi mengutamakan privasi dan maruah pengguna.

"Melalui penggunaan teknologi dan pemahaman tanggungjawab sosial, kami ingin memudahkan akses terhadap produk kebersihan wanita, terutamanya bagi masyarakat terpinggir," katanya.

Usaha itu dilaksanakan oleh syarikat pengendali mesin layan diri, Atlas Vending dan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Libresse Malaysia.

Ahli kelab pembimbing rakan sebaya Sekolah Menengah Sains Selangor, Nur Khairah Sofea Ismail mengakui bahawa pengurusan pad dan masalah haid kurang diketahui rata-rata pelajar di Malaysia.

Jadi, dengan adanya pemasangan mesin sebegini di sekolah dilihat mampu membantu pelajar-pelajar kini menangani masalah haid apatah lagi apabila melibatkan pelajar tingkat satu yang baru dalam permasalahan haid.

Nur Khairah turut berharap agar terdapat sekolah-sekolah lain di Selangor memasang mesin itu di tempat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram