Buntu cari hadiah Hari Ibu, 5 resipi 'kids-friendly' ayah dan anak-anak wajib cuba raikan wanita istimewa


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Masa memasak mencipta suasana harmoni di dapur sekali gus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin. — Gambar janaan AI

SETIAP kali tibanya Hari Ibu, ramai yang akan mula memikirkan bermacam idea untuk menghargai wanita yang paling penting dalam hidup mereka, sama ada ibu, ibu mentua atau isteri.

Selain daripada jambangan bunga atau hadiah mewah lain, masa yang diluangkan bersama juga merupakan hadiah yang cukup berharga serta bermakna buat mereka.

Pelbagai aktiviti boleh diluangkan bagi mengisi masa bersama yang tersayang. Jadi apa kata, anda mungkin boleh mencuri masa menjamu hidangan yang lazat hasil air tangan sendiri kepada isteri atau emak sempena Hari Ibu.

BACA LAGI: Pernah 'shooting' ditemani pak belang, Azza Arif percaya penataan gaya perlu ada makna, bangga ukir nama di persada Hollywood

BACA LAGI: Sewa lelaki kacak untuk menangis, budaya ikemeso danshi beri ruang wanita Jepun cari ketenangan

Pasti mereka akan teruja dek kerana sebelum ini, memasak adalah rutin harian bagi menyediakan juadah buat seisi keluarga.

Namun pada hari istimewa ini, suami dan anak-anak pula boleh mengambil alih tugas tersebut dan melayan mereka bak puteri raja.

Berikut Majoriti kongsikan lima hidangan lazat dan mudah yang boleh dimasak bersama keluarga kecil anda:

Kismis, cip coklat dan hirisan badam boleh menghasilkan puding roti yang lebih lazat. — Agensi

1. Puding roti

Puding roti memang menjadi kesukaan ramai daripada anak kecil sehinggalah orang dewasa.

Walaupun hanya menggunakan bahan utama yang ringkas seperti roti dan susu, namun hidangan tersebut mampu menambat hati para ibu dengan sekelip mata sahaja.

Anda boleh menambah kismis, cip coklat, hirisan badam atau potongan pisang untuk hasil yang lebih lazat, mengikut cita rasa masing-masing.

Ditambah dengan sos kastard yang berkrim dan manis, tentunya hidangan puding roti menambat hati insan tersayang pada Hari Ibu.

 

 

2. Pasta berkrim tomyam Khairul Aming

Jika anda mahukan menu berat yang agak 'fancy', tetapi sudah bosan dengan pasta klise seperti carbonara atau bolognese, pasta berkrim tomyam adalah jawapannya.

Bukan saja sesuai dengan tekak Melayu kita, pasta ini juga tak sukar untuk disediakan kerana bahan-bahan atau ramuan yang digunakan boleh didapati dengan mudah di pasar raya.

Anda boleh mengikuti resipi daripada pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang mana resipi itu mendapat pujian ramai kerana bukan saja lazat namun mudah disediakan.

Cuma, jangan 'derhaka' andai anda tidak begitu mahir mengubah suai resipi. Khuatir nanti hasilnya tak jadi seperti yang diinginkan.

Stimbot boleh dibuat di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.

3. Stimbot ala-ala Suki-Ya

Stimbot Suki-ya sememangnya menjadi kegemaran ramai bahkan pada masa sekarang, boleh dikatakan ia antara makanan 'trending'.

Hirisan daging lembu, kambing dan ayam yang dimasak dalam pilihan sup berperisa memberikan rasa yang unik dan lazat.

Ditambah pula pilihan sayur-sayuran seperti cendawan, bayam, ubi kentang dan sebagainya, ia menjadi menu yang menyihatkan untuk dinikmati seisi keluarga.

Apa kata, pada Hari Ibu, cuba sediakan 'home-made' stimbot ala-ala Suki-Ya bagi menjamu mereka. Mungkin ibu atau isteri anda belum berkesempatan untuk dapat menikmati hidangan tersebut di rumah.

Tanpa perlu beratur panjang, anda hanya perlu dapatkan bahan-bahan berkenaan di pasar raya. Tambah bebola daging, ayam dan keju mengikut cita rasa masing-masing.

Donat boleh dibakar dalam air fryer bagi memudahkan kerja.

4. Donat air fryer

Donat merupakan makanan yang cukup popular, namun biasanya ia perlu digoreng dalam minyak yang banyak.

Tetapi, dengan teknologi yang semakin berkembang, anda boleh menggunakan air fryer kerana ia boleh memudahkan proses pembuatan donat sekali gus menjadikan juadah manisan itu jauh lebih sihat.

Anak-anak pasti gembira membantu dalam menyediakan adunan dan membentuk donat, tapi jika anda mahu menjimatkan masa, ada boleh membeli adunan separa siap (premade dough) di pasar raya.

Gunakan sos coklat, strawberi, rainbow sprinkles untuk menghias donat. Boleh juga nikmati hidangan itu panas-panas bersama ais krim.

5. Minuman punch buah-buahan

Setiap hidangan yang disajikan pada hari ibu tidak lengkap tanpa minuman yang menyegarkan.

Air punch buah-buahan adalah pilihan yang sempurna yang mana anda boleh mencampurkan beberapa pilihan buah segar atau hanya menggunakan buah-buahan campuran dalam tin untuk menghasilkannya.

Ia boleh jadi longan, laici, nanas, pic dan mangga. Tambahkan jeli kelapa atau nata de coco, hirisan oren serta ais untuk melengkapkan hidangan.

Cara penyediannya juga sangat mudah dan pantas yang mana anda hanya perlu mencampurkan kesemua bahan-bahan dan ia sedia dihidangkan.

Dengan konsep hidangan yang ringkas dan mudah disediakan, pastinya masa memasak mencipta suasana harmoni di dapur sekali gus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram