
HARI Ibu merupakan masa istimewa untuk kita menzahirkan kasih sayang dan penghargaan kepada wanita paling penting yang bergelar ibu.
Sambutan Hari Ibu yang diraikan pada Ahad memberi peluang kepada anak-anak untuk menunjukkan rasa cinta mereka.
Ada juga yang memilih untuk membantu melakukan kerja rumah, menyediakan sarapan istimewa atau sekadar meluangkan masa bersama ibu tercinta yang semua itu cukup bermakna buat seorang ibu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan tinggal solat, hormati masa orang' antara pesanan ibu jadi panduan hidup
BACA LAGI: Perjalanan cinta lepas ijab kabul, pakar 'parenting' kongsi 7 rahsia jaga keharmonian rumah tangga
Lukisan Mithrasri buat ibu tersayang.
Sejak kecil, ibu sentiasa menjadi tempat kita bergantung yang menjaga ketika sakit, membimbing dalam pelajaran, memeluk kita semasa bersedih dan tidak pernah bosan memberi sokongan tanpa syarat.
Mereka bekerja siang dan malam tanpa mengira penat demi memastikan kebahagiaan, kesihatan dan kasih sayang buat kita.
Sebenarnya, tidak perlu hadiah mahal untuk menggembirakan hati seorang ibu.
Lukisan hasil tangan sendiri, sepucuk surat tulus ikhlas atau masa berkualiti bersama boleh menjadi kenangan paling berharga.
Ucapan ringkas seperti 'Saya sayang ibu' dan 'Terima kasih, ibu' sudah cukup untuk menyentuh hati mereka.
Namun, dalam kita meraikan ibu kandung, kita juga perlu mengingati bahawa tidak semua keluarga mempunyai struktur yang sama.
Ada kanak-kanak yang dibesarkan oleh nenek, ibu saudara, ibu tiri atau bapa yang memainkan peranan sebagai ibu.
Hari Ibu juga wajar dijadikan ruang untuk menghargai semua insan hebat yang menyayangi dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang.
Terdapat beberapa cara yang boleh dibuat seorang anak untuk membuatkan mereka berasa dihargai menjelang Hari Ibu.
Lukisan yang dibuat oleh Jayden untuk ibu tersayang sempena Hari Ibu.
Bagi Jayden Tan Li Sheng, 12, dia berkongsi cara tersendiri untuk menghargai wanita tersayang dalam hidupnya.
"Saya, ayah dan kedua-dua kakak telah merancang untuk membawa ibu ke restoran kegemarannya sempena Hari Ibu.
"Kami membuat tempahan sebulan awal kerana hari ini sangat penting. Saya juga menulis surat dengan tangan dan menyertakannya bersama kad ucapan.
Li Sheng juga berkongsi isi surat yang berbunyi 'Ibu, terima kasih kerana sentiasa menyayangi saya. Kasihmu menjadi sauh, pelindung dan penunjuk arah dalam hidup saya. Saya mungkin tidak selalu menyatakannya, tetapi kasih dan sokongan anda sentiasa saya bawa ke mana sahaja. Saya bersyukur menjadi anakmu. Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di seluruh dunia.'
Sementara itu, Michelle Tan Mei Kuan, 10, pula bercadang untuk belajar membuat bunga tulip buatan tangan daripada sepupunya.
"Saya mahu hadiahkan kepada ibu sebagai tanda kasih. Selain itu, saya ingin membantu ibu mengemas rumah dan membakar kek yang sedap. Ibu sangat bermakna dalam hidup saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas segalanya," katanya.
Sementara itu, Mithrasri Siva Chandran, 8, pula mahu meluangkan masa bersama ibu tercinta menjelang Hari Ibu.
"Nama ibu saya ialah Aruna Devi. Saya suka meluangkan masa bersamanya kerana dia pandai membuat lawak yang mencuit hati dan membuat saya ketawa. Ibu juga membantu saya belajar. Saya sangat sayangkan Amma. Selamat Hari Ibu, Amma!," katanya.
Joshua Tan, 12 pula mahu membawa ibunya menonton wayang bersama-sama bagi meraikan Hari Ibu.
"Tahun ini, saya membeli kad khas untuk ibu. Bulan Mei lebih bermakna kerana ia juga bulan ulang tahun kelahirannya!
"Saya akan membawa ibu menonton filem untuk meraikan dua peristiwa penting ini. Ia pasti menjadi hari penuh kasih sayang, gelak ketawa dan kebersamaan keluarga.
"Saya doakan ibu sentiasa sihat dan bahagia. Terima kasih atas segala-galanya, ibu. Saya sayang ibu!," katanya.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram