Gaji RM1,700 sebulan belum mencukupi, pekerja wanita di bandar khususnya ibu tunggal berdepan tekanan kos sara hidup


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Golongan wanita mengalami masalah untuk menampung keperluan hidup dengan gaji yang rendah. — Gambar Hiasan

PEKERJA wanita berpendapatan rendah terus terhimpit apabila gaji minimum RM1,700 sebulan masih jauh daripada mencukupi untuk menampung kos sara hidup sebenar di bandar.

Pengarah Eksekutif Empower, Gopalan K. Papachan berkata, majoriti penerima gaji minimum terdiri daripada wanita yang bekerja dalam sektor tidak mahir seperti tukang cuci dan pembantu rumah sehingga menyebabkan mereka sukar mencapai taraf kehidupan selesa.

“Keselamatan pekerjaan mereka juga rendah. Pada masa sama, mereka sering dipinggirkan akibat stereotaip jantina seperti anggapan keperluan kekuatan fizikal yang menghalang mereka daripada memasuki sektor kerja bergaji tinggi,” katanya.

BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'

Walaupun kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan sejak Februari lalu, ia masih belum mencukupi khususnya bagi ibu tunggal yang menanggung anak-anak.

Bank Negara Malaysia pada 2018 mencadangkan gaji sara hidup sebanyak RM6,500 sebulan bagi keluarga dengan anak-anak di bandar seperti Kuala Lumpur. 

Ramai golongan wanita menghadapi masalah untuk menampung perbelanjaan kerana jumlah gaji yang sedikit. — Gambar hiasan

Panduan Belanjawanku 2024/2025 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menunjukkan bahawa kos minimum bagi ibu tunggal dengan seorang anak di Lembah Klang, Selangor mencecah RM5,120 sebulan, manakala di Alor Setar, Kedah sekitar RM3,970.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan gaji bulanan median bagi wanita dalam sektor formal ialah RM2,700 pada Jun 2024 dan RM3,000 pada Disember 2024.

“Ini bermakna separuh daripada wanita bergaji di Malaysia menerima tidak lebih daripada jumlah itu, sedangkan kos hidup semakin meningkat,” kata Gopalan.

Beliau turut menyatakan bahawa hampir tiga juta wanita yang melakukan kerja rumah atau menjaga keluarga tidak menerima sebarang bayaran dan terus tidak diiktiraf dalam sistem ekonomi negara.

Berikutan itu, masyarakat sivil dalam Deklarasi Hari Pekerja pada 1 Mei menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan dan memperkenalkan pendapatan asas sejagat sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, isu gaji memerlukan pendekatan pelbagai pihak bagi memastikan keadilan untuk semua.

Beliau mengulas Laporan Statistik Siswazah 2023 yang menunjukkan graduan wanita menerima purata RM900 kurang daripada lelaki, meskipun memiliki kelayakan akademik yang setara.

Sementara itu, menurut Penolong Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Shazrul Ariff Suhaimi pula, pertumbuhan gaji dalam kalangan pekerja adalah terlalu perlahan.

"Dari 2010 hingga 2019, bagi 50 peratus pekerja terbawah, peningkatan purata gaji sebenar hanyalah RM56 setahun," katanya.

Dalam pada itu, Gopalan berkata, masyarakat masih berpegang kepada persepsi lapuk bahawa kerja-kerja mahir seperti tukang paip, tukang kayu, juruelektrik dan pelukis pelan hanya sesuai untuk lelaki.

"Wanita sebenarnya mampu melakukan semua kerja ini terutama dengan bantuan teknologi.

"Ia bukan soal kekuatan fizikal tetapi soal kemahiran dan kerja berpasukan,” jelas beliau.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi sokongan lebih besar kepada wanita untuk kekal dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

"Ramai wanita lulusan universiti meninggalkan pekerjaan selepas berkahwin kerana struktur masyarakat yang patriarki.

"Kita sepatutnya membuka ruang supaya wanita dapat menyumbang dan menerima pendapatan yang setara di semua bidang," katanya. — The Star/SYED UMAR ARIFF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,FacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram