Tak lekang bergaya walau bergelar ibu, 6 selebriti wanita serlah pesona tersendiri


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Selebriti-selebriti ini membuktikan bahawa bergelar ibu tidak menghalang mereka untuk terus tampil bergaya dengan penuh kelas. — Instagram selebriti

GELARAN ibu bukan sekadar simbol kasih sayang dan pengorbanan, tetapi juga lambang kekuatan wanita dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan.

Di sebalik jadual padat dan tanggungjawab membesarkan anak-anak, beberapa selebriti wanita tanah air tetap berjaya mengekalkan penampilan bergaya serta menjadi inspirasi ramai.

Enam selebriti wanita tempatan ini membuktikan bahawa keibuan dan penampilan bergaya boleh berjalan seiring.

BACA LAGI: Selepas 5 tahun dilancarkan, jenama Haus Labs oleh Lady Gaga kini masuk pasaran Malaysia

BACA LAGI: Dahlia Rizal 'salute' ibu bersalin czer, dedah hampir hilang nyawa demi lahirkan anak sulung, sempat titip kata semangat buat pejuang TTC

Sempena Hari Ibu, Majoriti senaraikan selebriti bergelar ibu yang memikat dengan gaya tersendiri:

Neelofa kekal anggun dan bergaya meskipun bergelar ibu dua anak, menjadikan dirinya ikon fesyen Muslimah masa kini. Instagram/@neelofa

1. Neelofa

Figura fesyen sejak awal kemunculan, Noor Neelofa, 36, kini tampil lebih sopan dan elegan selepas berhijab.

Meskipun bergelar ibu kepada dua anak, beliau kekal menjadi ikon fesyen muslimah dengan gaya moden, minimalis dan mewah.

Dari jubah potongan eksklusif hingga padanan tudung yang anggun, penampilannya sentiasa menjadi inspirasi ramai.

Zahirah kekal memikat sebagai ibu muda penuh gaya yang ringkas tetapi 'classy'. Instagram/@zahirahmacwilson

2. Zahirah Macwilson

Aktres berdarah kacukan, Zahirah Mac Wilson, 35, sering tampil mempesona dengan gaya feminin dan chic.

Selepas menimang cahaya mata lelaki, Zahirah tidak hilang sentuhan gaya.

Penampilan kasual bersama anaknya atau sewaktu menghadiri acara glamor membuktikan bahawa beliau mampu mengekalkan pesona sebagai ikon fesyen.

Dengan penampilan yang sentiasa kemas dan berkelas, Intan tampil sebagai ibu muda berjiwa elegan. Instagram/@intannajuwa

3. Intan Najuwa

Biarpun lebih sinonim dengan watak manja di kaca televisyen, Datin Intan Najuwa, 28, kini melangkah ke fasa kehidupan sebagai ibu dengan penuh gaya.

Gaya fesyennya yang ringkas tetapi classy menjadikannya pilihan jenama fesyen antarabangsa.

Penampilannya sering memperlihatkan keseimbangan antara elegan dan selesa, sesuai untuk ibu muda moden.

Yaya terkenal dengan gaya 'streetwear' dan gemar bereksperimen dengan fesyen. Instagram/@yayazahir

4. Yaya Zahir

Dikenali dengan gaya edgy dan unik, Yaya Zahir, 34, membawa nafas segar dalam dunia fesyen ibu muda.

Sejak kelahiran anak sulungnya, penampilannya tetap berani daripada warna terang ke siluet luar kotak.

Yaya bijak memadankan busana yang luar biasa dengan elemen streetwear dan sentuhan high fashion, menjadikan setiap penampilannya menonjol.

Tudung bawal menjadi pilihan utama Fazura, melengkapkan gaya elegannya— Instagram/@missfazura

5. Fazura

Elegan, sopan dan klasik, tiga kata yang sering dikaitkan dengan gaya Fazura.

Sebagai ibu kepada Nur Fatima Aisya, Fazura, 42, kekal aktif dalam dunia hiburan dan perniagaan, sambil menjaga imej sebagai selebriti yang penuh gaya.

Beliau juga dikenali dengan gaya tudung bawal yang digayakan secara ringkas tetapi kemas, menjadikan penampilannya sentiasa manis dan bersahaja.

Sama ada dalam busana kasual harian atau gaun elegan di karpet merah, beliau sentiasa tampil mempesona dengan sentuhan peribadi yang sederhana namun cukup memikat.

Mira gemar memilih warna-warna pastel menerusi gaya peribadinya. Instagram/@mfmirafilzah

6. Mira Filzah

Pelakon dan pengacara, Mira Filzah, 32, terkenal dengan penampilan sopan dan manis.

Sejak menjadi ibu, Mira tetap mengekalkan gaya anggunnya yang feminin dan berjiwa muda.

Gaya tudung kemas, pilihan warna pastel dan fesyen mesra ibu menjadikannya contoh terbaik wanita moden yang bergaya tanpa berlebihan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram