
PERKAHWINAN adalah salah satu perjalanan hidup yang paling indah, namun juga sangat mencabar.
Ia bukan sekadar tentang majlis meriah atau gambar kenangan, tetapi lebih kepada ikatan jiwa dan tanggungjawab yang berpanjangan.
Bagi pengantin baru, tempoh enam bulan pertama perkahwinan sering dianggap sebagai fasa yang paling manis, tetapi apa yang datang selepas itu adalah kisah sebenar rumah tangga.
BACA LAGI: Usahawan wanita muda tinggalkan Eropah demi sambung legasi perniagaan keluarga
BACA LAGI: Kediaman minimalis pintar kaya fungsi, adunan harmoni Jepun dan Scandinavia menerusi konsep Japandi
Taufiq Razif, seorang figura terkenal dengan perkongsian berharga mengenai keibubapaan di Facebook, sering mengingatkan bahawa perkahwinan memerlukan lebih daripada sekadar cinta.
Ia memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan keikhlasan untuk menerima pasangan dalam setiap keadaan.
Dalam artikel ini, Majoriti kongsikan tujuh nasihat penting daripada Taufiq yang mampu membantu para suami baharu memahami perjalanan panjang sebuah rumah tangga.
Dari permulaan fasa honeymoon yang penuh kemanisan, ke fasa adjustment ujian, sehingga akhirnya tiba ke peringkat acceptance dan resolution yang menjanjikan kebahagiaan yang lebih matang serta mendalam.
Berikut adalah tujuh nasihat penting yang disampaikan oleh beliau:
1. Nikmati fasa honeymoon sepenuhnya
Sebagai pengantin baharu, jangan pernah rasa segan untuk menikmati tempoh enam bulan pertama perkahwinan.
Ini adalah fasa honeymoon, tempoh di mana manisnya cinta terasa paling ketara.
Manfaatkan masa itu dengan penuh kasih sayang, kerana keindahannya hanya dirasai oleh pasangan baru sahaja.
Fasa itu penting kerana ia mencipta kenangan yang akan menjadi sandaran emosi pada masa akan datang.
Misalnya, ketika menghadapi konflik, kenangan manis dari fasa honeymoon itu dapat membantu meredakan ketegangan.
2. Bersedia menghadapi fasa adjustment
Selepas fasa manis itu, jangan terkejut jika badai mula melanda.
Fasa adjustment ialah tempoh di mana cara anda dibesarkan akan berkonflik dengan cara pasangan dibesarkan.
Percanggahan pandangan dan gaya hidup mungkin mula timbul.
Ramai suami berasa terkejut dan kecewa ketika memasuki fasa ini, menganggap perkahwinan tidak seindah dibayangkan.
Namun, kesedaran awal akan membantu suami lebih bersedia menghadapi perubahan dan menyesuaikan diri dengan lebih matang.
3. Kenal semula pasangan
Di fasa ini, walaupun sudah bertahun mengenalinya sebelum bernikah anda akan merasa seperti baru berkenalan semula.
Karakter sebenar pasangan mungkin mula terlihat dan inilah peluang untuk mengenali sisi lain pasangan dengan lebih jujur.
Ketika ini, ramai lelaki yang tidak bersedia mungkin mula meragui pilihan mereka.
Namun, memahami bahawa itu adalah sebahagian daripada proses penyesuaian akan mengurangkan rasa tertekan.
Perkahwinan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan keikhlasan untuk menerima pasangan dalam setiap keadaan. — Gambar Hiasan
4. Sabar adalah kunci
Di saat perbezaan mula ketara, ketap bibirmu dan genggam eratlah kesabaran.
Ini fasa yang mana pasangan anda paling memerlukan sokongan dan kebijaksanaanmu sebagai ketua keluarga.
Jangan biarkan emosi menguasai diri, sebaliknya tunjukkan ketenangan.
Kesabaran akan menguatkan ikatan apabila pasangan melihat anda tetap tenang dan memahami situasi.
Ia secara tidak langsung akan merasa lebih dihargai dan dihormati.
5. Jangan percaya kata isteri ketika beremosi
Ketika isteri berada dalam keadaan emosi, jangan cepat melatah.
Ingat, dia tidak memerlukan nasihat anda ketika itu, tetapi cukup kehadiran suami sebagai tanda sokongan.
Jangan percaya kata-katanya ketika emosi memuncak, kerana bukan itu yang sebenarnya dia maksudkan.
Ini adalah kesilapan biasa yang sering menyebabkan pergaduhan.
Memberi nasihat ketika isteri sedang marah hanya akan memburukkan keadaan dan suami perlu bersabar serta beri ruang untuk emosi reda dahulu.
6. Fasa acceptance dan resolution akan tiba
Selepas melalui fasa yang mencabar, akan tiba satu peringkat yang lebih indah, iaitu acceptance dan resolution.
Pada ketika itu, anda akan mula menerima pasangan seadanya, dengan segala kelebihan dan kekurangannya.
Anda akan tersenyum melihat tingkah lakunya kerana dia bukan sekadar pasangan, tetapi juga sahabat sejati.
Pada tahap itu, kebahagiaan akan lebih bermakna kerana anda telah melalui liku-liku kehidupan bersama.
Anda akan sedar bahawa dia adalah racun, juga penawar dan saling melengkapi dalam segala aspek.
7. Perkahwinan adalah ibadah paling lama
Sentiasalah ingat bahawa perkahwinan bukan sekadar perkongsian kehidupan, tetapi juga ibadah yang panjang.
Niatkan perkahwinan kerana Allah dengan niat yang betul, setiap ujian, kesabaran, gelak tawa dan cabaran dalam perkahwinan akan mendapat ganjaran pahala.
Dengan memahami hakikat itu, pasangan akan lebih ikhlas dalam melayani satu sama lain.
Tidak kira betapa sukar perjalanan rumah tangga, keyakinan bahawa ia adalah ibadah akan menguatkan jiwa dan membina rasa tanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram