'Pelukan ganti kata-kata tak terungkap', dakapan erat terakhir mendiang isteri kini hidup dalam kenangan


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Satu pelukan yang pada ketika itu dirasakan seperti kebiasaan rutin harian, namun kini menjadi kenangan paling mendalam dalam hidup Suthan. — Gambar hiasan

SATU catatan dimuat naik seorang lelaki dari New Delhi, India di LinkedIn menyentuh hati ribuan pengguna media sosial selepas berkongsi tentang kenangan terakhir memeluk isterinya sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir.

Dalam hantaran tular tersebut, Prathap Suthan mengimbas kembali momen terakhir bersama isterinya.

Satu pelukan yang pada ketika itu dirasakan seperti kebiasaan rutin harian, namun kini menjadi kenangan paling mendalam dalam hidupnya.

BACA LAGI: Ketahui 6 lokasi interaktif, acara menarik sekitar Lembah Klang sempena Hari Ibu

BACA LAGI: 'Pelukan erat petanda sambut seruan Ilahi', jemaah surau Bangi berduka kehilangan tahfiz dari Bangladesh

"Peluklah dengan sepenuh hati. Saya masih ingat pelukan terakhir yang diberikan isteri. Ia berlaku pada pagi itu, sebelum kami berangkat ke hospital," tulis Suthan di platform tersebut.

Menurut beliau, pelukan itu pada awalnya hanya dianggap sebagai satu bentuk sokongan dan harapan agar mereka kembali pulang bersama. 

Tangkap layar memaparkan hantaran Suthan di LinkedIn miliknya.

Namun, setelah isteri pergi buat selama-lamanya, beliau mula menyedari makna sebenar pelukan itu.

"Walaupun saya hanya faham sekarang, ia bukan pelukan biasa. Ia adalah pelukan senyap dan perlahan seseorang yang tahu beliau tidak akan kembali. 

"Pelukan erat seseorang yang mengucapkan selamat tinggal bukan untuk seketika, tetapi selama-lamanya," katanya.

Tambah Suthan, pelukan tersebut menjadi memori yang tidak akan pernah luput daripada ingatannya.

“Ia adalah pelukan yang akan dibawa sepanjang hayat saya. Tiada pelukan lain mampu menandinginya,” tulisnya lagi.

Melalui catatan itu, beliau turut meluahkan pandangan mengenai kekuatan sentuhan manusia, sambil menyentuh pelbagai jenis pelukan yang menggambarkan cinta, perpisahan, pengorbanan dan harapan.

Antaranya termasuk seorang bapa yang semakin dimamah usia memeluk erat anak-anaknya sebelum mereka pergi, seolah-olah cuba menahan masa. 

“Seorang ibu di stesen kereta api mendakap anaknya ke dada sebelum berangkat ke medan perang, tangannya seakan-akan cuba menahan masa depan,” tulisnya.

Beliau turut menggambarkan pelukan kekasih yang terpisah sekian lama, pekerja migran yang pulang ke pangkuan ibu dan pelukan orang asing yang memberi kekuatan saat bencana melanda.

Ujarnya, pelukan boleh sahaja menjadi penyambut atau perpisahan. 

Ia boleh membawa cinta atau menjadi lambang perjuangan untuk terus hidup. 

"Namun ia tidak pernah sekadar pelukan. Ia hadir apabila kata-kata gagal dan menjadi sauh ketika hati memerlukan sesuatu yang teguh,” ujarnya.

Suthan mengakhiri catatannya dengan peringatan agar manusia tidak memandang remeh kuasa sentuhan, terutamanya dalam era digital yang menyaksikan ramai menjauhkan diri di sebalik skrin.

“Jika hari ini anda bernasib baik untuk memeluk seseorang, peluklah seolah-olah anda benar-benar memahami maknanya,” katanya.

Hantaran berkenaan menerima ribuan reaksi daripada pengguna media sosial, yang menyifatkannya sebagai peringatan tulus mengenai pentingnya menghargai kehadiran insan tersayang dalam hidup.

“Kita hidup dalam dunia yang pantas dan sering melupakan sentuhan. Berlindung di sebalik skrin, menjauhi keintiman. 

"Namun kita dicipta untuk memeluk dan dipeluk, untuk memikul dan dipikul,” tulis seorang pengguna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram