Ketahui 6 lokasi interaktif, acara menarik sekitar Lembah Klang sempena Hari Ibu


  • Relaks
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Terokai teknik susunan huruf tangan dan cetakan letterpress vintaj dalam bengkel interaktif anjuran Komuniti The Lostprints di Kuala Lumpur. — The Lostprints Community

HARI Ibu menjadi peluang terbaik untuk anak-anak menghargai insan tersayang dengan menikmati masa berkualiti bersama melalui pelbagai aktiviti seni dan muzik di sekitar Lembah Klang.

Daripada kraf terrazzo dan sesi lakaran hinggalah konsert santai di taman, pelbagai acara disediakan sepanjang hujung minggu ini, menawarkan pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.

Berikut merupakan senarai lokasi dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh warga kota sempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad.

BACA LAGI: Rai ibu tersayang dengan hadiah haruman bersama jambangan bunga

BACA LAGI: Bvlgari pilih Scha Alyahya sebagai penyeri kempen khas sempena Hari Ibu

1. Bengkel Cetakan Letterpress: Komuniti The Lostprints

Cetakan letterpress membuka ruang kepada peserta untuk kembali ke zaman cetakan analog. — the.lostprints

Di Jalan Panggung, bengkel cetakan letterpress anjuran Komuniti The Lostprints membuka ruang kepada peserta untuk kembali ke zaman cetakan analog.

Dengan mesin cetak vintaj dan blok abjad, peserta boleh mencipta kad, poster atau hasil seni lain tanpa perlu sebarang pengalaman terdahulu.

Sesi berdurasi satu hingga tiga jam itu sesuai untuk pasangan ibu dan anak yang gemar akan sentuhan klasik, sambil belajar teknik cetakan dalam suasana indie yang unik di ruang Lostgens.

Jika anda mencari aktiviti kreatif yang pantas dan boleh dijadikan hadiah istimewa, ini patut dimasukkan dalam senarai.

Lokasi: Lostgens, Tingkat 3, Jalan Panggung, Kuala Lumpur

Tarikh: Dibuka setiap Rabu hingga Ahad

2. Muzik: Music Play Date

Jika mahukan sambutan Hari Ibu yang santai di bawah sinar matahari, acara Music Play Date oleh Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac) adalah pilihan terbaik.

Konsert tersebut diadakan di bawah pohon beringin yang rendang, direka khas untuk mereka yang baru pertama kali menghadiri konsert, terutamanya keluarga dengan anak kecil.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20, KLPac akan menampilkan pratonton konsert Salam Konnichiwa yang dijadualkan pada September depan oleh KLPac Symphonic Band.

Edisi kali ini dijangka menggembirakan peminat anime (mungkin juga ibu anda!) dengan lagu-lagu daripada My Neighbor Totoro, Spirited Away, Yoasobi dan banyak lagi.

Tiada tiket diperlukan, tiada pakaian rasmi, hanya bawa tikar piknik dan nikmati pagi yang santai bersama komuniti.

Penonton dialu-alukan untuk bertepuk tangan, menari atau membawa alat muzik buatan sendiri untuk turut serta.

Masuk adalah percuma, hanya bawa semangat ceria dan hayati muziknya.

Lokasi: Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Kuala Lumpur

Tarikh: 11 Mei, 10 pagi

3. Sketch Jam: Kelab Melukis Jom Lookis!

Peserta digalakkan untuk melukis berdasarkan pemerhatian, ingatan atau imaginasi. — Temu House

Jika ibu anda suka melakar atau melukis, Kelab Melukis Jom Lookis! di Temu House memang sesuai.

Tanpa tekanan dan tidak perlu tampak sempurna, hanya pensil, pen dan imaginasi.

Sesi yang dikendalikan oleh peserta Program Residensi Seni Khazanah di London tahun lalu, Sarah Radzi itu menjanjikan hari yang bebas dan ekspresif.

Sarah kini aktif dengan lukisan dan cat, meneroka hubungan antara identiti dan ruang peribadi.

Sesi berkenaan bukan kelas seni biasa, ia lebih kepada jamming seni.

Peserta membawa peralatan sendiri (tapi ada juga drawing potluck untuk berkongsi) dan digalakkan untuk melukis berdasarkan pemerhatian, ingatan atau imaginasi.

Sambil di Temu House, boleh juga nikmati pameran Drawn To It yang memaparkan koleksi lukisan berinspirasikan filem popular.

Sesi itu akan diadakan semula pada Sabtu depan (18 Mei) jika anda mahu lanjutkan sambutan Hari Ibu.

Lokasi: Temu House, Petaling Jaya, Selangor

Tarikh: 11 Mei, 3 petang

4. Bengkel Terrazzo

Seorang ibu dan anak lelakinya bergambar bersama dulang terrazzo yang mereka hasilkan. — Shi Terrazzo Atelier

Jika anda ingin aktiviti bersama berakhir dengan hasil seni yang cantik dan berguna, bengkel terrazzo adalah pilihan tepat.

Peserta, biasanya pasangan ibu dan anak akan mencipta dulang buatan tangan peribadi menggunakan teknik terrazzo, campuran pigmen berwarna yang dicurahkan ke dalam acuan khas.

Sambil menunggu dulang mengeras, anda juga boleh hasilkan figura zodiak kecil atau rantai kunci.

Seluruh pengalaman itu dikendalikan oleh artis terrazzo Shi Xin Lin, yang berpengalaman luas bekerja dengan pemula, menjadikannya sesuai untuk kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa yang mahu meluangkan hari bersama ibu.

Kesempurnaan bukan fokus utama, tetapi kreativiti dan warna-warni dalam menghasilkan sesuatu yang indah.

Di akhir bengkel, anda akan bawa pulang hasil seni, sesuai untuk letak barang kemas, alat solek atau syiling.

Bengkel berlangsung setiap hujung minggu hingga akhir Jun, tetapi sempena sambutan Hari Ibu, anda disarankan untuk tempah awal.

Lokasi: Shi Terrazzo Atelier, Tingkat 2, GMBB, Kuala Lumpur

Tarikh: 11 Mei

5. La La Land di Dewan Filharmonik Petronas

Mengakhiri hujung minggu dengan penuh gemilang, konsert La La Land In Concert di Dewan Filharmonik Petronas membawakan pengalaman filem dan muzik secara langsung pada 11 dan 12 Mei.

Filem pemenang Anugerah Oscar 2016 itu akan dipersembahkan bersama orkestra dan kumpulan jazz secara langsung, menjadikan ia hadiah Hari Ibu yang sempurna untuk peminat muzik dan filem.

La La Land mengisahkan seorang pemain piano berbakat dan pelakon wanita yang bercita-cita tinggi, bertemu dan jatuh cinta sambil mengejar impian di kota bintang yang memukau.

Dengan pelbagai pilihan menarik dan kreatif, sambutan Hari Ibu di Lembah Klang kali ini menjanjikan kenangan manis yang sukar dilupakan, sama ada melalui irama tradisional, seni kontemporari atau detik indah di bawah langit terbuka. — The Star/M.IRSYAD

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram