'Pelukan erat petanda sambut seruan Ilahi', jemaah surau Bangi berduka kehilangan tahfiz dari Bangladesh


  • Tular
  • Ahad, 16 Jul 2023

Mizan Bangla dikatakan rebah secara tiba-tiba sebelum meninggal dunia dekat Laman 2, Bandar Seri Putra, Bangi pada Sabtu.

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah perumpaan yang menggambarkan betapa segala perihal kebaikan kita akan menyelinap dalam ingatan sesiapa saat seseorang manusia dijemput kematian.

Kematian seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dikatakan rebah secara tiba-tiba sebelum meninggal dunia dekat Laman 2, Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor pada Sabtu turut menjadi bualan warga maya.

Hal ini kerana, lelaki yang dikenali dikenali sebagai Mizan Bangla merupakan jemaah Surau As - Syakirin dan sangat disenangi penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Melalui satu hantaran yang dimuat naik di halaman Facebook Info Penduduk Bandar Seri Putra, Mizan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bekerja mengambil upah sebagai pemotong rumput di kawasan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Mohd Ridwan Bin Razali tidak menyangka Mizan dijemput Ilahi buat selamanya.

"Innalillahiwainnalillahirajiun, Insya-ALLAH, syurga tempatmu sahabatku.

"Seorang Hafiz Al-Quran, sanggup berjauhan dengan keluarga meninggalkan dua orang anak, isteri, ibu dan ayah di Bangladesh.

"Lapan tahun kami bersahabat, rindu yang teramat sangat setelah berpindah ke kampung halaman. Diizinkan ALLAH berjumpa al-Marhum di surau al-Syakirin pagi semalam (Sabtu).

"Rupa-rupanya pelukan erat pagi semalam, petanda dirimu meninggalkan kami selama-lamanya. Semoga dipermudahkan urusan jenazah al-Marhum Mizan," katanya.

Kamarul Afizi pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik.

"Innalillahiwainna ilahirajiun. Kalau jumpa dengan dia memang selalu bagi salam kat saya. Mulia keperibadian arwah ini. Sesungguhnya saya menjadi saksi arwah orang yang sangat baik. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang dikasihi. Al Fatihah," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram