
HARI Ibu yang disambut pada 11 Mei 2025 ini memberikan peluang terbaik untuk menghargai wanita paling penting dalam hidup kita sama ada ibu, isteri, mahupun ibu mentua.
Dalam kesibukan rutin harian, kita sering terlepas pandang untuk meluangkan masa berkualiti bersama mereka.
Justeru, sambutan Hari Ibu boleh menjadi detik istimewa untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan buat wanita istimewa ini.
BACA LAGI: Jimat masa dan banyak manfaat kesihatan, Farah Lee contohi amalan sihat orang Jepun makan nasi beku
BACA LAGI: Bukan saja tempat luah perasaan, ChatGPT jadi 'personal trainer' bantu turunkan berat badan
Bagi yang mempunyai bajet lebih, anda boleh menghadiahkan ibu atau isteri dengan pelbagai barangan yang diinginkan, mungkin perhiasan diri seperti barang kemas atau juga set penjagaan kecantikan.
Anda juga boleh hadiah set periuk atau pinggan mangkuk kerana perkakasan dapur juga menjadi kegemaran wanita.
Ia tidak semestinya mahal, tetapi apa yang bermakna ialah ingatan dan dengan usaha ikhlas yang pasti menyentuh hati mereka.
Berikut Majoriti senaraikan lima idea mudah dan bermakna untuk meraikan Hari Ibu tahun ini.
Rawatan refleksologi antara terapi yang boleh dihadiahkan kepada isteri sempena Hari Ibu. — Gambar Janaan AI
1. Beri ibu masa rehat dan sesi manjakan diri
Ibu sering kali mendahulukan keperluan orang lain sebelum dirinya sendiri.
Maka, berikan ruang untuk dia memanjakan diri pada hari istimewa itu buat dia 'bercuti' daripada kerja-kerja rumah harian.
Tempah sesi rawatan spa, urutan badan atau kunjungan ke salun kecantikan rambut kegemaran.
Jika ingin menjimatkan kos, konsep 'home spa' juga boleh dipraktikkan, malah semakin ramai yang gemar berbuat demikian.
Sediakan suasana santai di rumah, lengkap dengan lilin aromaterapi, muzik lembut dan tempahlah sesi daripada penyedia perkhidmatan 'home spa' yang diyakini supaya isteri dapat menikmati urutan tanpa perlu meninggalkan rumah.
Masa 'me time' isteri bersama rakan sama ada membeli-belah atau ke spa dapat membantu mengisi semula ‘tenaga emosi’. — Gambar Janaan AI
2. ‘Me time’ bersama kawan-kawan
Kadangkala, apa yang isteri perlukan hanyalah sedikit ruang untuk dirinya sendiri.
Beri peluang untuknya keluar menikmati hi-tea atau dan sesi membeli-belah bersama sahabat baiknya.
Kalau isteri anda seorang pencinta kopi, anda juga boleh cadangkan sesi cafe-hopping supaya dia dapat peluang bersantai di kafe sambil menikmati minuman kegemaran, dan mungkin juga sepotong kek untuk melengkapkan sesi catch-up dengan rakan-rakannya.
Tidak ada salahnya memberi masa sebegitu kerana waktu tersebut boleh digunakan untuk dia berehat seketika daripada tanggungjawab harian dan mengisi semula ‘tenaga emosi’.
Suami mungkin boleh bantu jaga anak-anak di rumah dan membantu menguruskan hal-hal rumah tanggah yang masih tertangguh.
3. Makan malam istimewa
Raikan Hari Ibu dengan makan malam di restoran kegemarannya atau buat tempahan di kedai yang mahu dicuba.
Jadikan malam itu santai namun tetap menyeronokkan agar dapat menjadi kenangan manis buat keluarga.
Pilih restoran mesra keluarga yang selesa dan sesuai untuk kanak-kanak jika anda memiliki anak kecil.
Makanan yang enak ditambah dengan suasana yang riang dan layanan istimewa akan menceriakan hari istimewa ini.
Pastikan ibu tidak perlu risau tentang memasak atau melayan supaya dia dapat menjadi tetamu utama yang paling istimewa pada malam itu.
4. ‘Short vacay’ bersama keluarga
Memandangkan Hari Ibu jatuh pada hari minggu, ini masa terbaik untuk merancang 'short vacay' hujung minggu bersama seisi keluarga.
Tempah bilik di hotel atau resort yang selesa sama ada di tepi pantai, kawasan bukit atau bandar terdekat.
Percutian ringkas ini bukan saja beri ruang untuk ibu berehat, tetapi juga mencipta kenangan indah bersama anak-anak dalam menyeronokkan.
Anak-anak dengan dibantu ayah mereka boleh menyediakan juadah ringkas sebagai 'surprise' kepada ibu. — Gambar hiasan
5. Sambutan ringkas tanpa berbelanja besar
Bagi keluarga yang ingin meraikan Hari Ibu tanpa kos tinggi, cukup dengan meringankan beban insan tersayang pada hari istimewa itu.
Suami boleh mengambil alih tugas seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga anak.
Anak-anak pula boleh menulis kad ucapan, melukis atau merakam video penghargaan. Tindakan kecil ini mampu memberikan impak besar kepada hati seorang ibu.
Sambutan Hari Ibu tidak semestinya mewah. Apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan kesungguhan dalam meraikan insan yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang.
Jadikan 11 Mei ini sebagai detik yang akan diingati, bukan kerana hadiah, tetapi kerana perhatian yang tulus dari insan tersayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram