
SEORANG budak perempuan berusia 12 tahun di Thailand sanggup berdepan penghinaan daripada rakan-rakan sekolahnya demi membantu ibu mencari rezeki dengan cara mengutip sampah.
Kisah menyayat hati gadis cilik itu, Fasai tular di media sosial selepas seorang pempengaruh Thailand, Spriteder SPD memuat naik video pertemuannya bersama Fasai, yang ketika itu sedang mengutip barang kitar semula berhampiran sebuah tapak pelupusan sampah.
Rakaman tersebut meraih lebih 1.1 juta tanda suka dalam tempoh dua hari di Facebook sehingga mencuri perhatian ramai warga maya.
BACA LAGI: WAO dedah bahaya pengantunan seksual, ibu bapa jangan abai 'red flag' khuatir anak jadi mangsa
BACA LAGI: Jimat masa dan banyak manfaat kesihatan, Farah Lee contohi amalan sihat orang Jepun makan nasi beku
Difahamkan, pempengaruh berkenaan pada mulanya tertarik dengan dua ekor kucing comel yang berada di atas sebuah troli pasar.
Namun, selepas didekati, beliau menyedari bahawa troli itu milik Fasai yang sedang sibuk memungut bahan buangan untuk dikitar semula.
Apabila ditanya sama ada dia mempunyai kawan di sekolah, Fasai sebak sebelum mengalirkan air mata.
Dengan suara yang teresak-esak, dia menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai rakan kerana sering dihina dan digelar pengutip sampah oleh pelajar lain.
Spriteder yang bersimpati cuba menawarkan wang tetapi ditolak oleh Fasai.
Namun, setelah dipujuk, Fasai bersetuju untuk memilih barangan keperluan di sebuah kedai serbaneka berdekatan.
Apa yang menyentuh hati, Fasai hanya memilih barangan asas seperti beras, makanan kering, rempah ratus serta ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat sakit sendi ibunya.
Malah, dia hanya memilih produk paling murah, walaupun tidak perlu membayar sendiri.
Fasai turut memastikan barangan yang dipilih mencukupi untuk keperluan keluarga termasuk dua ekor kucing peliharaan mereka.
Ketika ditemui pemberita Thairath, ibu Fasai yang merupakan wanita berusia 50 tahun meluahkan rasa syukur dan bangga terhadap anak bongsunya itu.
Menurut beliau, walaupun masih kecil, Fasai rajin membantu melakukan kerja rumah dan tidak pernah menolak untuk mengikutinya mengutip sampah setiap kali musim cuti sekolah.
Wanita itu turut berkongsi bahawa dia mempunyai tiga orang anak dan dua anak lelakinya yang lebih tua kini sudah bekerja.
Tambahnya, walaupun keluarga mereka serba kekurangan, Fasai sangat tekun dalam pelajaran dan bercita-cita tinggi.
Sejak kisah Fasai tular, pelbagai pihak tampil untuk menghulurkan bantuan.
Walaupun pada awalnya ibu Fasai enggan menerima sumbangan, beliau akhirnya bersetuju kerana mahu memberikan peluang pendidikan lebih baik buat anaknya iaitu peluang yang tidak sempat dirasai oleh abang-abang Fasai sebelum ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram