
PEMPENGARUH media sosial yang juga seorang ibu, Farah Lee menarik perhatian orang ramai apabila berkongsi mengenai amalan pemakanan unik yang diamalkannya iaitu memakan nasi beku sebagai salah satu usaha menjaga kesihatan diri.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Farah menjelaskan bahawa dia telah lama mengamalkan kaedah memasak nasi dalam kuantiti yang banyak sebelum membekukannya untuk digunakan kemudian.
Menurutnya, amalan itu turut bukan hanya memudahkan pengurusan masa harian tetapi memberi pelbagai manfaat kesihatan.
BACA LAGI: Bukan saja tempat luah perasaan, ChatGPT jadi 'personal trainer' bantu turunkan berat badan
“Saya masak nasi dalam kuantiti banyak dan kemudian membekukannya.
"Bukan semata-mata kerana mahu menjimatkan masa, walaupun itu antara sebabnya, tetapi nasi yang dibekukan dan dipanaskan semula mempunyai kelebihan mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan lonjakan insulin dan baik untuk sistem penghadaman," katanya.
Farah berkata, antara sebab utama dia mengamalkan nasi beku adalah kerana keupayaannya untuk membantu menurunkan indeks glisemik nasi.
Proses penyejukan dan pembekuan selepas nasi dimasak akan menukar sebahagian daripada kanji dalam nasi kepada kanji rintang atau resistant starch.
Nasi perlu disejukkan dalam masa kurang dari satu jam selepas dimasak.
Kanji rintang adalah sejenis karbohidrat yang tidak mudah dicerna dalam usus kecil.
Sebaliknya, ia akan melalui proses penapaian dalam usus besar, yang seterusnya memberikan beberapa manfaat kesihatan yang signifikan.
Antara kelebihan kanji rintang termasuklah seperti:
Mengawal paras gula dalam darah – Kanji rintang melepaskan glukosa secara perlahan sehingga menjadikannya lebih sesuai untuk individu yang menghidap diabetes.
Memberi rasa kenyang yang lebih lama – Kanji juga membantu dalam usaha mengawal berat badan seseorang.
Meningkatkan kesihatan usus – Kanji rintang bertindak sebagai prebiotik yang menyuburkan bakteria baik dalam usus.
Meningkatkan sensitiviti terhadap insulin – Pengambilan secara konsisten boleh membantu mengurangkan risiko gangguan metabolik.
Masyarakat Jepun sudah lama mengamalkan teknik pemakanan itu.
Menurut Farah, masyarakat Jepun telah lama mengamalkan teknik itu dalam rutin pemakanan harian mereka dan ia mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tahap kesihatan yang tinggi dalam kalangan warga emas di negara tersebut.
Selain manfaat kesihatan, Farah turut menyatakan beberapa kelebihan praktikal dalam mengamalkan nasi beku:
1) Menjimatkan masa
Nasi boleh dimasak lebih awal dalam kuantiti banyak dan disimpan dalam peti sejuk beku untuk digunakan kemudian.
2) Mengurangkan pembaziran makanan
Seseorang tidak perlu membuang lebihan nasi, sebaliknya boleh disimpan dan dimakan semula.
3) Menjaga kandungan nutrien
Jika nasi dibekukan dengan betul dalam tempoh yang singkat selepas dimasak, kebanyakan nutrien asalnya masih kekal.
Walaupun nasi beku mempunyai banyak kelebihan, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan risiko kesihatan:
1. Keracunan makanan akibat bakteria bacillus cereus
Nasi perlu disejukkan dalam masa kurang dari satu jam selepas dimasak dan terus disimpan dalam peti sejuk atau peti sejuk beku.
Ia juga perlu dipanaskan semula sehingga betul-betul panas sebelum dimakan.
2. Perubahan tekstur
Nasi yang dibekukan mungkin menjadi lebih kering atau berbutir apabila dipanaskan semula.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan menambah sedikit air dan menutup nasi semasa memanaskannya untuk menghasilkan wap.
3. Kehilangan nutrien jika disimpan terlalu lama
Pembekuan yang berpanjangan (melebihi dua bulan) boleh mengurangkan kandungan vitamin tertentu seperti vitamin B.
Oleh itu, disarankan untuk melabel bekas simpanan dan menggunakannya dalam tempoh yang munasabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram