Tukar papan pemotong plastik, kuali teflon! Suri rumah kena peka ganti perkakas dapur bebas toksin


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Iza mengajak para ibu untuk perlahan-lahan beralih kepada pilihan yang lebih selamat. — Gambar Hiasan

"PERLAHAN-LAHAN kita tukar apa yang boleh dahulu, tak perlu ikut trend, tapi ikut ilmu. Dulu kita tak tahu, sekarang dah tahu."

Begitulah kata-kata yang menjadi pegangan ramai suri rumah hari ini, termasuk perkongsian jujur daripada @Iza Masak selepas aktif mengajak kaum ibu untuk lebih cakna dalam pemilihan barangan dapur.

BACA LAGI: Usahawan wanita muda tinggalkan Eropah demi sambung legasi perniagaan keluarga

BACA LAGI: Kediaman minimalis pintar kaya fungsi, adunan harmoni Jepun dan Scandinavia menerusi konsep Japandi

Dalam kesibukan harian menyediakan makanan untuk keluarga, ramai antara kita mungkin tidak sedar bahawa barangan dapur digunakan sebenarnya boleh menyumbang kepada masalah kesihatan.

Ia terutamanya kepada anak-anak kecil dan ahli keluarga yang sensitif seperti pesakit IBD (penyakit radang usus), penyakit Crohn atau kolitis.

Penggunaan alatan seperti periuk teflon, bekas plastik, papan pemotong plastik dan aluminium foil bukan sahaja tidak mesra alam.

Malah ia boleh membebaskan bahan kimia berbahaya apabila terdedah kepada suhu panas atau digunakan berulang kali.

Barangan kegunaan harian dapur yang boleh ditukar. — Gambar hiasan

Disebabkan itu, Iza mengajak para ibu untuk perlahan-lahan beralih kepada pilihan yang lebih selamat.

Misalnya, menggantikan periuk teflon dengan periuk keluli tahan karat atau besi yang lebih tahan lama dan tidak melepaskan lapisan kimia ke dalam makanan.

Bekas makanan plastik pula diganti dengan bekas kaca yang bukan sahaja lebih selamat, malah mudah dicuci dan tidak menyerap bau.

Untuk kerja-kerja memotong dan menyediakan bahan mentah, papan pemotong buluh atau kayu disarankan berbanding papan plastik yang mudah tercalar serta menjadi tempat pembiakan bakteria.

Empat barangan dapur yang dipercayai mengeluarkan bahan toksik dan boleh diganti dengan perkakas dapur lebih selamat. — Gambar hiasan

Di dalam ruangan komen ada juga yang bertanya mengenai papan buluh atau kayu yang mudah berkulat.

Iza menjelaskan bahawa sifat bahan semula jadi seperti buluh memang lebih mudah menyerap wap dan lembapan, jauh lebih selamat berbanding papan plastik yang boleh mencemarkan makanan dengan toksin.

Kulat boleh dielakkan dengan menyimpan papan pemotong di tempat berangin, bukan dalam kabinet tertutup dan dijemur di bawah cahaya matahari secara berkala agar kekal kering.

Dalam pada itu, pemilihan minyak untuk memasak juga diberi perhatian.

Minyak dari biji benih (seed oils) yang tinggi PUFA (asid lemak politaktepu) disarankan untuk dielakkan.

Ia lebih baik digantikan dengan pilihan lebih stabil seperti minyak zaitun, ghee atau lemak haiwan (tallow) yang sesuai untuk suhu tinggi.

Ramai mungkin tertanya-tanya soal kos?

Benar, sesetengah barangan seperti bekas kaca atau periuk keluli tahan karat memerlukan pelaburan awal yang lebih tinggi.

Tetapi ia sebenarnya menjimatkan dalam jangka masa panjang kerana lebih tahan lama, tidak perlu ditukar selalu dan paling penting ia lebih selamat untuk kesihatan keluarga.

 

 

Bukan soal untuk jadi sempurna, tetapi sebagai ibu atau penjaga keluarga, menjaga amanah kesihatan anak-anak dan orang tersayang adalah satu tanggungjawab yang besar.

Perubahan tak perlu drastik, cukup bermula dengan kesedaran dan ilmu.

Tukar satu demi satu, ikut kemampuan dan yang paling penting kita tahu kenapa perlu buat perubahan itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram