
ISU anak kecil mengalami tantrum di tempat awam sering menjadi perdebatan dengan ada yang meminta masyarakat lebih bertoleransi dan ada pula yang berpendapat ibu bapa perlu lebih bersedia menghadapi situasi tersebut agar dapat mengelak gangguan kepada orang lain.
Baru-baru ini, tular di TikTok satu hantaran video oleh Aeryllfame yang berkongsi pengalaman menaiki feri bersama isterinya yang mengalami demam panas dan migrain.
Sepanjang perjalanan lebih sejam itu, mereka terpaksa mendengar tangisan dan jeritan seorang kanak-kanak berusia sekitar 6 tahun tanpa henti yang dianggap tidak diberi perhatian secukupnya oleh penjaga.
@aeryllfamee Membalas bunyi asal @⋆˚˖° - Aeryll
Menerusi video tersebut, Aeryllfame meluahkan kekesalan dan pada masa sama memberikan beberapa nasihat kepada ibu bapa agar lebih bersedia sebelum memulakan perjalanan dengan anak kecil.
"Saya faham, budak-budak memang akan menangis tetapi kalau satu jam lebih menangis tanpa henti, itu bukan sekadar rengekan. Itu buat perangai namanya. Takkan tak ada solusi langsung," katanya.
Antara beberapa cadangan yang boleh dibuat termasuk:
- Menyediakan jajan atau mainan untuk mengalih perhatian anak
- Mengelakkan anak tidur sebelum perjalanan supaya mudah tertidur dalam feri atau kapal terbang
- Memberi peringatan awal dari rumah mengenai kelakuan di tempat awam
Aeryllfame berkata, peranan ibu bapa bukan sekadar menjaga keselamatan anak tetapi juga memastikan tingkah laku mereka tidak mengganggu ketenteraman orang lain.
"Aku pun pernah jadi budak tetapi mak aku dari rumah dah bertegas seperti cakap 'kalau buat perangai depan orang ramai, kau siap balik nanti'," katanya.
Dalam video itu, Aeryllfame turut menyentuh tentang stigma masyarakat terhadap disiplin iaitu apabila sesetengah ibu bapa takut untuk menegur atau menaikkan suara kepada anak kerana bimbang dianggap mendera.
“Kalau anak dah buat salah dan kita asyik 'backup', sampai bila dia nak belajar? Ada beza antara mendidik dengan mendera,” katanya.
Walaupun begitu, dalam sesetengah keadaan, memang sukar untuk mengawal anak terutamanya jika mereka berkeperluan khas seperti autisme atau berada dalam keadaan tidak sihat.
"Lain pula kalau anaknya OKU atau masih bayi, kita fahamlah juga tetapi ini alhamdulillah sihat sahaja siap boleh menjawab apa yang dia nak tanpa pelat," katanya.
Tegasnya, toleransi masyarakat amat penting, namun ibu bapa juga wajar mengambil langkah berjaga-jaga bagi membantu mengurangkan risiko tantrum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram