
PELAKON wanita, Datin Atikah Suhaime baru-baru ini berkongsi kegembiraan selamat melahirkan cahaya mata perempuan diberi nama, Lyla Mulan Teh.
Momen indah itu disambut dengan penuh keterujaan oleh para peminat yang mengikuti perkembangan beliau sejak hamil.
Bagaimanapun, dalam hantaran yang dikongsikan terdapat segelintir warga maya menulis komen mengenai perubahan fizikal Atikah, seolah-olah masih mengandung.
BACA LAGI: Kanak-kanak Malaysia menghadap skrin hingga 6 jam, tip untuk ibu bapa kawal 'screen time' anak-anak
BACA LAGI: [VIDEO] Anak pilih influencer sebagai kerjaya, adakah ibu akan menentang atau beri dorongan?
Sebenarnya, perubahan tubuh selepas bersalin adalah perkara biasa bagi setiap ibu.
Namun, ramai ibu tidak mengetahui atau memahami perubahan itu sepenuhnya.
Ada yang mungkin bimbang atau keliru tentang situasi sedang berlaku pada tubuh mereka selepas melahirkan cahaya mata.
Dr. Rusyainie (gambar kecil) berkongsi lapan perubahan fizikal dialami wanita selepas bersalin. Gambar hiasan/Freepik
Bagi memberikan penjelasan lebih mendalam tentang perkara itu, pakar perubatan, Dr. Rusyainie Ramli berkongsi ulasan di laman Facebook mengenai lapan perubahan fizikal dialami wanita selepas bersalin.
1. Kesakitan badan
Selepas bersalin, ibu akan mengalami kesakitan pada beberapa bahagian tubuh seperti pelvis, pinggul, belakang, paha, tangan dan betis.
Ini berlaku kerana otot-otot yang terlibat dalam proses kelahiran memerlukan masa untuk pulih.
Sendi seperti pergelangan kaki dan lutut juga mengalami tekanan.
Oleh itu, ibu disaran memberi masa beberapa minggu bagi tubuh mereka sembuh sepenuhnya.
Segelintir ibu akan mengalami kesakitan pada beberapa bahagian tubuh. — Gambar hiasan
2. Luka episiotomi
Bagi ibu bersalin secara normal, episiotomi mungkin dilakukan bagi mengelakkan koyakan yang lebih teruk.
Luka itu mungkin menyebabkan ketidakselesaan terutamanya ketika berjalan atau duduk.
Ia kebiasaannya sembuh dalam tempoh sekitar empat minggu tetapi perlu dijaga dengan rapi untuk mengelakkan jangkitan.
Jika terdapat tanda-tanda seperti bengkak, kesakitan melampau atau demam, seseorang perlulah memperoleh rawatan perubatan dengan segera.
3. Sakit bahagian abdomen
Selepas bersalin, ibu mungkin mengalami sengal atau rasa nyilu pada bahagian bawah abdomen akibat proses pengecutan rahim yang mengambil masa hingga enam minggu untuk kembali ke saiz asal.
Rasa sakit itu mungkin lebih ketara ketika menyusukan bayi.
Pemeriksaan kesihatan penting untuk memastikan keadaan ibu hamil stabil selepas bersalin. — Gambar hiasan
4. Sembelit dan buasir
Masalah sembelit sering dialami oleh ibu selepas bersalin terutama bagi yang menjalani episiotomi.
Pengambilan air yang mencukupi serta makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membantu melancarkan sistem pencernaan.
Buasir juga boleh menyebabkan ketidakselesaan tambahan jika tidak dirawat dengan baik.
5. Bengkak susu
Apabila susu mula dihasilkan, payudara akan membengkak dan puting menjadi lebih sensitif.
Walaupun keadaan itu adalah normal, ibu perlu berwaspada jika payudara menjadi merah, bengkak atau disertai dengan demam kerana ia mungkin tanda jangkitan yang memerlukan rawatan segera.
6. Kesakitan selepas pembedahan
Bagi ibu yang melahirkan secara pembedahan, kesakitan di bahagian luka adalah perkara biasa.
Doktor akan membekalkan ubat penahan sakit untuk membantu mengurangkan kesakitan itu.
Ibu juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika batuk atau bersin dengan meletakkan bantal pada abdomen bagi mengurangkan tekanan.
7. Masalah terkucil
Sesetengah ibu mungkin menghadapi masalah sukar mengawal pembuangan air kecil atau besar selepas bersalin akibat otot pelvis (pelvic muscles) yang meregang semasa kelahiran.
Rusyainie berkata, senaman kegel disarankan untuk membantu menguatkan semula otot pelvis dan memperbaiki kawalan kencing.
8. Darah nifas
Pendarahan nifas adalah perkara normal selepas bersalin. Ia biasanya lebih banyak daripada darah haid biasa dan akan berkurangan secara beransur-ansur.
"Warna darah akan berubah daripada merah terang kepada perang atau kuning.
"Jika pendarahan berlebihan atau berbau tidak menyenangkan, ibu perlulah segera berjumpa dengan doktor," kata Rusyainie.
Beliau turut mengingatkan bahawa proses melahirkan bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal, malah emosi yang tinggi.
Oleh itu, suami dinasihatkan agar lebih empati dan memberikan sokongan penuh kepada isteri sepanjang tempoh pemulihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram