Dahlia Rizal 'salute' ibu bersalin czer, dedah hampir hilang nyawa demi lahirkan anak sulung, sempat titip kata semangat buat pejuang TTC


  • Relaks
  • Khamis, 08 Mei 2025

Dahlia Rizal bersama cinta hatinya, Imran Aqil bersyukur dikurniakan bayi yang sihat dan comel pada Rabu.

"SAYA sangka saya tak sempat jumpa anak saya."

Itulah luahan pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya, Yusra pada Rabu.

Pemilik nama sebenar Nur Dahlia Ahmad Rizal itu melahirkan anak perempuan pertamanya dengan berat 2.85 kilogram secara pembedahan caesarian (czer).

Namun, di sebalik kegembiraan itu, Dahlia turut meluahkan pengalaman getir ketika menjalani proses melahirkan anak secara pembedahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak tak fokus belajar? Ibu bapa wajib tahu teknik belajar 30 minit yang berkesan untuk mudah ingat pembelajaran

BACA LAGI: Diserikan dengan gabungan budaya Bali, Jawa dan Eropah, Luna Maya dan Maxime kini bergelar suami isteri

"Ramai kata czer tak sakit sangat, tak rasa apa sebab bius. Tapi saya silap besar apabila percaya bulat-bulat.

"Dengan jangkitan paru-paru dan asma, pengalaman saya sangat pahit dan traumatik. 

"I thought I almost died. Saya sempat mengucap berkali-kali dalam hati. Melahirkan ini satu pengalaman yang bercerita pun takkan faham sampai lalui sendiri," katanya. 

Dalam hantaran Instagram yang dimuat naik, Dahlia berkata, dia tidak menyangka proses kelahiran anaknya begitu menakutkan dan menguji mental.

Bagaimanapun, kasih seorang ibu mengatasi segala-galanya.

"Seandainya perlu, saya sanggup lalui semua ini semula demi anak saya, Yusra. Walau sakit dan menakutkan, dia adalah anugerah paling indah dari ALLAH SWT untuk saya dan Imran," katanya. 

Dahlia turut merakamkan penghargaan buat para pengikutnya yang setia mengikuti perjalanan hidupnya dari pertunangan, perkahwinan hingga kini menjadi ibu. 

"Saya baca setiap komen dan mesej. Maaf kalau tak terbalas satu-satu tetapi saya hargai semuanya. Terima kasih sebab sentiasa ada walaupun dari jauh," katanya. 

Pada masa yang sama, Dahlia menitipkan doa buat para wanita yang sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat agar terus kuat dan tidak putus harapan.

"Saya doakan semua yang sedang menanti rezeki zuriat akan dapat khabar gembira tidak lama lagi. Jangan pernah putus asa, insya-ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram