
PENINGKATAN premium insurans perubatan tidak dapat dielak berikutan peningkatan kos rawatan perubatan, teknologi penjagaan kesihatan yang canggih dan peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama berkata, selain daripada inflasi, kuantum penetapan semula harga itu juga dipengaruhi oleh faktor seperti penilaian risiko individu, pengumpulan risiko, faedah dan ciri produk serta pembayaran tuntutan yang dijangka.
"Kami faham bahawa pelarasan ini mungkin menimbulkan kebimbangan dan kami komited untuk menyediakan ketelusan dan sokongan pada masa ini," menurut kenyataan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara
Pada masa sama, industri insurans dan takaful Malaysia menyaksikan kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak 56 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2023.
Jelas persatuan-persatuan berkenaan lagi, pihak industri menyambut baik pengumuman terkini oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengenai penubuhan unit kawalan kos bagi menguruskan kos penjagaan kesihatan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kekal mampu milik sambil mengekalkan piawaian penjagaan yang tinggi.
Mereka berkata, pihak industri juga menyokong gesaan Menteri Kesihatan untuk menyediakan sistem penyampaian penjagaan kesihatan berasaskan nilai dengan memberi tumpuan kepada memberikan hasil kesihatan yang lebih baik pada kos yang mampan.
"Pengenalan pilihan pembayaran bersama pada bulan September menawarkan penyelesaian jangka panjang bagi membantu pemegang polisi menguruskan polisi mereka.
"Pembayaran bersama bertujuan untuk mengurangkan premium dengan berkongsi kos perubatan bersama pemegang polisi, sambil menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bijak dalam jangka panjang," menurut kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram