Jangan simpan sederap dalam bank jika bimbang wang lesap, semak 5 tempat selamat 'saving' duit


  • Bizz
  • Khamis, 18 Jan 2024

Masyarakat digalakkan untuk menyimpan wang di platform lain selain bank. — Gambar hiasan

SETIAP individu pasti memiliki cara tersendiri dalam menguruskan wang perbelanjaan mahupun secara tradisional iaitu menabung menggunakan tabung fizikal, digital atau platform lain.

Secara amnya, jika sebut sahaja menabung, ramai sering kali menganggap bahawa perlunya menyimpan wang yang banyak di dalam akaun bank.

Namun, tahukah anda, wang simpanan secara banyak di dalam bank mempunyai risiko kehilangan tanpa diketahui seperti yang terjadi kepada selebriti terkenal, Dynas Mokhtar baru-baru ini.

BACA LAGI: Simpanan Dynas Mokhtar lesap, bekas 'banker' cerita pengalaman staf kantoi curi duit klien

Pada Selasa, Dynas dilaporkan telah kehilangan kira-kira RM29,000 yang disimpan di dalam bank tanpa disedarinya sebelum mahu mengeluarkan untuk membayar gaji pemantu peribadinya.

Justeru, bagi mengelakkan masalah tersebut berlaku pada individu lain, Majoriti menyenaraikan lima cara yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk menabung selain menyimpan di dalam bank.

1) Aplikasi Tabung MAE atau Goals CIMB

photo_6142913813494741276_y

Aplikasi Tabung MAE (kiri) dan Goals CIMB (kanan).

Penggunaan sistem digital untuk menabung antara cara paling mudah untuk digunakan pada era kini kerana ia lebih sistematik dan mudah kerana boleh diakses pada bila-bila masa sahaja.

Cara yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan aplikasi Tabung MAE atau Goals CIMB. Kaedah ini boleh digunakan oleh khususnya seluruh pengguna Maybank dan CIMB.

Bagi pengguna Maybank, mereka boleh menggunakan aplikasi MAE untuk menyimpan dan ia dikategorikan sebagai e-dompet.

Kepada siapa yang belum tahu, aplikasi MAE sebelum ini pernah ada dalam aplikasi M2U, tetapi kini sudah dipisahkan bagi memudahkan urusan seharian.

Dalam aplikasi MAE, terdapat pelabagai pilihan ciri untuk penyemakan keluar masuk wang termasuk ciri Tabung yang membolehkan pengguna mengurus wang simpanan secara bijak.

Pertama sekali, pengguna perlu mempunyai sasaran wang yang mahu disimpan setiap bulan kerana aplikasi tersebut akan menolak duit daripada akaun simpanan biasa secara automatik.

Untuk pengguna MAE, pengguna boleh pilih sama ada nak menyimpan dalam tabung sendirian atau anda nak menabung dengan orang lain.

Contoh menabung dengan orang lain sesuai untuk mereka yang merancang mahu pergi bercuti beramai-ramai tetapi setiap ahli akan menyimpan dalam tabung yang sama setiap bulan.

Selepas wang sudah cukup dan memenuhi sasaran yang ditetapkan, maka anda boleh memindahkan semula ke akaun biasa untuk digunakan pada hari yang diingini.

Begitu juga dengan ciri Goals dalam aplikasi CIMB Clicks yang menawarkan perkhidmatan sama.

2) Amanah Saham Bumiputera (ASB)

loanstreet-cara-guna-teknik-hybrid-asb-1

Menyimpan dengan cara melabur di ASB.

Antara platform pelaburan yang mendapat perhatian ramai serta dijamin oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Platform tersebut menyediakan peluang pelaburan yang berbaloi serta mempunyai tahap risiko yang rendah kepada para pelabur

Ia juga merupakan cara untuk melakukan simpanan secara konsisten dalam jangka masa yang panjang dan mempunyai kadar pulangan dividen pelaburan lebih tinggi.

ASB merupakan salah satu instrumen pelaburan khusus untuk Bumiputera untuk menambah simpanan dan mampu menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif.

Selain itu, terdapat juga dua jenis ASB iaitu ASB dan ASB 2 yang merupakan unit amanah harga tetap dan modal pelaburan tidak akan berkurangan kerana harga seunit kekal sebanyak RM1.

Modal yang diperlukan serendah adalah serendah RM225 sebulan sahaja dan jika menyimpan selama lima tahun bersamaan 60 bulan, purata dividen tahunan sebanyak 6.75 peratus.

3) Tabung Haji

Tabung Haji corporate logo AZHAR MAHFOF/The Star (4/2/2016)

Tabung Haji lebih sesuai untuk menyimpan wang menunaikan ibadah haji.

Menyimpan wang menggunakan perkhidmatan Tabung Haji pula sememangnya tidak jauh beza seperti menyimpan dalam ASB.

Hal ini kerana, kedua-duanya menyediakan peluang pelaburan berbaloi dan mempunyai tahap risiko yang rendah kepada para pelabur.

Namun, kebiasaannya, ramai yang menggunakan Tabung Haji sebagai tempat penyimpanan wang untuk menunaikan ibadah haji.

BACA LAGI: Tabung Haji perkukuh keselamatan digital, elak pendeposit jadi mangsa penipuan

Antara kebaikan menyimpan menggunakan simpanan Tabung Haji adalah, modal awal yang rendah, simpanan dijamin, kos yang rendah, pemberian dividen berserta bonus kompetitif, dividen berserta bonus dikecualikan cukai, zakat dibayar pihak Tabung Haji, simpanan berserta pengeluaran tanpa had, patuh syariah dan simpanan sesuai untuk menunaikan Haji.

Antara syarat yang diperlukan adalah warganegara Malaysia, beragama Islam serta boleh dibuka dengan modal serendah RM2 sahaja.

Selain itu, konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji dikatakan berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan) seperti yang dinyatakan dalam Akta Tabung Haji.

Berdasarkan konsep itu, pendeposit atau penyimpan memberi wang kepada Tabung Haji untuk disimpan manakala Tabung Haji sebagai penjaga bersetuju untuk menjaga wang tersebut.

4) Unit Trust

Screenshot (254)

Unit Trust antara platform yang boleh digunakan sebagai langkah menyimpan wang.

Unit Trust ialah salah satu platform yang boleh digunakan untuk membuat simpanan jangka pendek atau panjang.

Unit Trust atau dikenali sebagai Unit Amanah merupakan salah satu institusi pelaburan di Malaysia yang ditubuhkan untuk mengumpulkan dana daripada pelabur-pelabur yang bermodal kecil ke dalam dana amanah.

Dana tersebut kemudiannya akan dilaburkan dalam pasaran saham dan ekuiti oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah bagi pihak pelabur menerusi ikatan amanah.

Dalam erti kata lain, pelabur memberikan sepenuh kepercayaan kepada pengurus dana untuk menguruskan dan melaburkan duit bagi pihaknya.

Biasanya, matlamat yang ditetapkan bagi simpanan jenis itu adalah persaraan, pendidikan anak, haji atau umrah, beli rumah atau berkahwin.

ASB juga sebenarnya termasuk dalam unit trust tetapi untuk jangka pendek iaitu tiga tahun hingga lima tahun atau lebih.

Dari segi keuntungan pula, terdapat 10 hingga 15 peratus purata pulangan kalau simpan tiga tahun hingga lima tahun atau lebih daripada itu.

Dalam cara ini, terdapat tiga jenis keuntungan iaitu keuntungan modal, dividen dan bonus. Keuntungan modal melibatkan kenaikan atau penurunan harga dan kedua-dua keadaan itu memberi kelebihan kepada pelanggan.

Dividen pula merupakan ganjaran kepada pemegang saham kerana memberi pelaburan kepada syarikat manakala bonus adalah sejumlah wang yang diterima daripada pihak syarikat.

Namun, pelabur disarankan untuk menggunakan perkhidmatan konsultan atau perunding untuk memudahkan urusan penambahan wang simpanan atau pertukaran dana apabila menerima dividen.

5) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Press conference on delay of PTPTN loan repayment - YBhg.Encik Wan Saiful Wan Jan,Pengerusi PTPTN.

Platform simpanan SSPN diperkenalkan oleh PTPTN.

Orang ramai turut dinasihati untuk menyimpan wang dengan menggunakan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun.

SSPN diperkenalkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang pastinya memberi manfaat terutamanya pelajar dan kanak-kanak.

BACA LAGI: PTPTN umum 3.05 peratus dividen SSPN 2022, lebih tinggi banding 2021

Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyimpan duit raya anak anda dalam SSPN demi pendidikan masa hadapan anak-anak.

Simpanan juga boleh dilakukan dengan bayaran serendah RM30 sebulan sahaja.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim dilaporkan berkata, Simpan SSPN turut memberi perlindungan takaful, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.



Tambahnya, PTPTN sentiasa komited melaksanakan pelbagai insentif bagi memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram