[VIDEO] Ambil insurans dan takaful, jangan sampai membebankan — Pakar kewangan


  • Bizz
  • Khamis, 20 Jun 2024

Memiliki pelan insurans adalah satu bentuk keselamatan kewangan yang ideal untuk semua orang. — Gambar hiasan

SEDIAKAN payung sebelum hujan. Satu frasa yang tepat bagi menjelaskan faktor orang ramai memilih insurans atau takaful sebagai pelan perlindungan hidup.

Apatah lagi, ia dapat digunakan bertujuan mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah seperti kemalangan, banjir, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian.

Mungkin ada sesetengah yang berasa jengkel apabila didekati dengan ejen insurans yang cuba menawarkan seberapa banyak jenis pelan yang disediakan syarikat mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] KPDN Putrajaya bongkar taktik keji peniaga, beri alasan mesin rosak punca minyak masak peket tak cukup sekilogram

BACA LAGI: Insurans, takaful kenderaan dijangka naik 2 peratus, ramai risau kos sara hidup terus meningkat

Bagaimanapun saban tahun, sudah ramai sebenarnya yang mulai sedar akan keperluan untuk membeli insurans, ditambah dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

Pastinya ia satu perkembangan positif, terutamanya apabila semakin ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk menambah kualiti kehidupan bukan sahaja buat diri mereka, tetapi juga keluarga tercinta.

Malah, ia memiliki pelan insurans adalah satu bentuk keselamatan kewangan yang ideal untuk semua orang.

stok

Dapat digunakan bertujuan mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah seperti kemalangan, banjir, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian.

Syarikat insurans menawarkan pelbagai jenis pelan merangkumi perlindungan dari segi perubatan, pendidikan, pelaburan dan banyak lagi.

Insurans juga merangkumi pelbagai jenis pelan yang bersesuaian dengan keinginan dan kemampuan individu.

Namun apa yang kurang menarik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat insurans dilaporkan mula menaikkan harga premium yang lebih tinggi kepada pembelinya.

Premium insurans merujuk kepada jumlah yang telah dipersetujui dan perlu dibayar secara berkala kepada syarikat insurans untuk mendapatkan perlindungan.

Keadaan semakin membimbangkan apabila terdapat syarikat yang didakwa semakin tamak dan mula menawarkan pelan perlindungan yang tidak masuk akal dan mengakibatkan ramai yang akan terjerat.

Situasi itu pada akhirnya berisiko menyebabkan hospital swasta juga bertindak menaikkan kos perubatan.

Isu kenaikan harga premium insurans itu juga turut dibincangkan menerusi satu perkongsian video seorang pengendali TikTok dengan nama akaun @5aadh pada Isnin lalu.

Mengulas mengenai kebimbangan tersebut, Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, tidak salah untuk seseorang berhasrat mendapatkan insurans premium dengan harga yang tinggi.

Bagaimanapun ujarnya, pengguna digalakkan untuk mengambil insurans dan takaful dengan bayaran yang tidak membebankan.

"Sebaiknya setiap individu tahu apa keperluan yang mereka perlu diutamakan dan selaraskan dengan kemampuan masing-masing.

"Apa fungsi ambil insurans atau takaful mahal-mahal tapi selepas beberapa tahun terpaksa batalkan kerana sudah tidak mampu membayarnya?

"Ambil pelan jangan sampai membebankan. Selain itu, buat juga semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini seperti menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya kepada Majoriti.

fazli

Mohamad Fazli

Mohamad Fazli turut berpandangan, kos sara hidup yang tinggi ketika ini mungkin menyebabkan orang ramai tidak berminat untuk membeli insurans yang harganya terlalu mahal.

"Tidak dinafikan, mungkin ada yang akan membeli insurans premium yang mahal kerana pastinya mereka mahu memberikan perlindungan yang terbaik pada masa akan datang.

"Namun dengan keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, saya rasa ramai yang akan fikir berkali-kali sebelum beli. Pasti wang yang ada mahu digunakan untuk membeli kelengkapan yang lebih penting seperti makanan, kenderaan, barang persekolahan anak-anak dan sebagainya," jelas beliau.

WhatsApp Image 2024-06-19 at 20.43.26

Syarikat insurans menawarkan pelbagai jenis pelan merangkumi perlindungan dari segi perubatan, pendidikan, pelaburan dan banyak lagi.

Untuk rekod, pada Mac lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dilaporkan berkata, inflasi kos perubatan tinggi dan trend penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat menjadi antara faktor utama mendorong peningkatan kadar premium atau sumbangan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Menurutnya, isu inflasi kos perubatan memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk memastikan akses kesihatan dan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik dalam jangka masa panjang.

"Isu inflasi kos perubatan memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk memastikan akses kesihatan dan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik dalam jangka masa panjang.

"Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan juga sedang dipergiat untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan berkaitan pemerkasaan sistem kesihatan negara," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram