BIARPUN bergelar suri rumah sepenuh masa, wanita asal Masai, Johor Bahru, Johor ini mampu memperoleh sumber pendapatan menerusi hobi dan aktiviti seni diminatinya.
Terlebih dahulu menceburi bidang bakeri, Nabihah Durrani Ab Malik kini banyak menerima tempahan lukisan 'conteng' berkonsep kartun dan animasi dari serata negara.
Mula menceburi bidang itu sejak awal tahun lalu, aktiviti yang bermula sekadar hobi tersebut meraih tumpuan ramai sebaik konsep komik dilukis pada kenderaannya tular di laman sosial.
BACA LAGI: Air mesin penapis tak selamat diminum bayi? Ketahui kaedah terbaik bancuh susu formula
Bermula dari detik itu, rezekinya difahamkan kian mencurah-curah apabila mendapat tempahan daripada pelanggan yang amat meminati seni contengan tangannya.
Menerusi perkongsian terbaharu di laman TikTok, Durrani tampil unik apabila menghasilkan lukisan kartun 'Tom and Jerry' pada sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire baru-baru ini.
Jelasnya proses kerja itu memakan masa lebih dua hari untuk menyiapkan tugasan tersebut selain turut menyifatkan ia cukup mencabar kerana memanjat ke bahagian bumbung kereta.
"Alhamdulillah diberi izin sekali lagi untuk buat sehabis baik, semua proses berjalan lancar dan sempurna selama dua hari walaupun cuaca kurang baik.
"Kali ini saya diberi kepercayaan sepenuhnya dalam memilih tema kartun yang sesuai, Tom and Jerry tak akan pernah padam dalam ingatan.
"Nampak senang tapi agak mencabar saya cuba cipta jalan cerita menarik jadi setiap sudut ada kisah tersendiri termasuk atas sun roof," katanya.
Dalam pada masa sama, Durrani turut terbuka menerima tempahan roti yang dinamakan 'golden pillow' yang mula diusahakan sejak 2022.
Berkebolehan dalam bidang seni dan bakeri, kegigihan wanita itu dalam mencari rezeki wajar dijadikan inspirasi buat ibu-ibu luar sana yang juga bergelar suri rumah sepenuh masa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
