PENGGUNAAN peranti teknologi dalam kalangan remaja kian berleluasa dengan pelbagai kemudahan yang membantu dalam pendidikan serta aktiviti seharian.
Medium seperti YouTube misalnya antara yang banyak menyediakan panduan pelajaran buat golongan pelajar seperti video tutorial, kelas tuisyen dan banyak lagi.
Pun begitu, platform tersebut dikatakan turut membantutkan tumbesaran dan kebolehan remaja yang terlalu bergantung harap pada kemudahan teknologi tersebut.
BACA LAGI: Sah hamil, 6 langkah utama mommies wajib buat lepas lihat 'double line'
BACA LAGI: Air mesin penapis tak selamat diminum bayi? Ketahui kaedah terbaik bancuh susu formula
Mengulas lanjut isu berbangkit, Pengarah dan Ketua Global Penjagaan Kesihatan dan Kesihatan Awam di YouTube, Dr. Garth Graham tampil menyediakan panduan terbaik untuk ibu bapa mengawal tabiat buruk anak-anak.
Menerusi soal jawab Q&A, Garth menjawab segala spekulasi yang mendakwa penggunaan digital membawa pengaruh negatif terhadap remaja.

Garth Graham merupakan Ketua Global Penjagaan Kesihatan dan Kesihatan Awam di YouTube. — Agensi
Soalan: Benarkah video pempengaruh memberi kesan buat remaja?
Dr. Garth Graham: Remaja berada dalam fasa kehidupan di mana mereka sangat peka terhadap hubungan sosial dan pengaruh rakan sebaya.
Otak mereka bertindak balas dengan kuat terhadap isyarat sosial, jadi tidak mengejutkan apabila pempengaruh yang kelihatan seperti rakan sebaya mempunyai pengaruh besar.
Tambahan pula, sesetengah daripadanya menghasilkan kandungan yang positif seperti topik kesihatan mental, ekspresi diri dan sokongan kepada isu sosial.
Namun begitu, perlu diingat bahawa kandungan yang ditonton selalunya telah ditapis dan disunting untuk tatapan penonton.
Perkara itu boleh menyebabkan remaja membentuk tanggapan tidak realistik tentang kehidupan sebenar.
Soalan: Apakah risiko kepada remaja jika kerap didedahkan kepada kandungan tertentu?
Dr. Garth Graham: Kajian menunjukkan bahawa remaja lebih berisiko membentuk pandangan negatif terhadap diri mereka apabila sering terdedah kepada kandungan yang memaparkan gejala negatif.
Oleh itu, YouTube dan Jawatankuasa Penasihat Belia dan Keluarga telah mengenal pasti jenis kandungan yang mungkin kelihatan tidak berbahaya secara individu, tetapi boleh memberi pengaruh buruk jika ditonton berulang kali.
Justeru, sistem pengesyoran kandungan telah diperbaiki untuk mengehadkan pendedahan berlebihan kepada topik kurang bersesuaian.
Soalan: Apakah peranan ibu bapa dalam memantau kandungan video ditonton anak.
Dr. Garth Graham: Yang penting ialah memahami kandungan yang ditonton, bukan hanya menjejak aplikasi atau peranti.
Ibu bapa harus menunjukkan minat yang ikhlas dan bertanya soalan terbuka seperti, "apa yang kamu suka tentang video ini?" atau "bagaimana kandungan memupuk minat kamu?"
Kaedah itu membuka ruang kepada perbualan kritis dan anak-anak akan lebih terbuka untuk mendengar nasihat serta berkongsi cerita.
Soalan: Adakah ibu bapa patut menetapkan had masa skrin yang ketat?
Dr. Garth Graham: Kajian pakar tidak menyokong had masa yang ketat kerana setiap remaja memiliki keupayaan dan kebolehan berbeza-beza.
Apa yang lebih penting ialah memastikan penggunaan gajet tidak mengganggu aktiviti utama seperti tidur, senaman, hobi dan interaksi sosial mereka.
Di YouTube misalnya, ciri peringatan rehat automatik boleh diaktifkan setiap 60 minit untuk penonton bawah usia 18 tahun.
Soalan: Apakah mesej utama kepada ibu bapa yang ingin menyokong kesihatan digital anak mereka?
Dr. Garth Graham: Ibu bapa perlu membimbing remaja sebaiknya tentang pemakanan dan aktiviti fizikal.
Ia termasuk mengajar mereka mengenal pasti kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI), memahami sumber yang boleh dipercayai, serta mengenal pasti iklan tersembunyi dalam setiap kandungan video.
Kaedah komunikasi dan perbualan juga penting kerana remaja lebih terbuka jika kerap didekati dan dibantu dari segenap sudut.
Sekadar info, Garth Graham juga merupakan seorang pakar kardiologi, penyelidik dan pakar kesihatan awam yang disegani di Amerika Syarikat (AS).
Beliau pernah berkhidmat dalam dua pentadbiran AS sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Kesihatan dan juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Dekan bagi Polisi Kesihatan di Universiti Florida.
Sebelum menyertai Google, beliau merupakan Presiden Yayasan Aetna serta Ketua Pegawai Kesihatan Komuniti di CVS Health dan kini memegang pelbagai peranan penting dalam lembaga kesihatan negara termasuk Majlis Penasihat kepada Pengarah NIH dan Forum Kualiti Kebangsaan.
Dengan pengalaman luas dalam dasar awam dan komuniti, Dr Graham kini memainkan peranan penting dalam menjadikan ekosistem kandungan digital lebih selamat dan membina untuk generasi muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
