
KEBAHAGIAAN seorang isteri sering kali menjadi tunjang kepada keharmonian sesebuah keluarga.
Oleh itu, penting bagi suami memahami cara-cara membahagiakan isteri, bukan sekadar untuk memenuhi tanggungjawab, tetapi juga sebagai tanda cinta dan penghargaan.
Rumah tangga bahagia bermula dengan komunikasi baik, saling menghargai dan tindakan kecil yang menunjukkan keprihatinan.
Seperti hantaran dimuat naik seorang pengguna laman Instagram, husnakamilen, beliau berkongsi lima tip yang boleh digunakan oleh para suami untuk menunjukkan penghargaan kepada suri hati.
Menurutnya, untuk membuat isteri rasa disayangi dan dihargai tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar, cukup dengan tindakan kecil yang penuh makna dan konsisten.
1. Bergambar bersama
Suami digalakkan untuk selalu menawarkan diri bergambar bersama isteri atau sekurang-kurangnya mengambil gambar isteri.
Walau nampak remeh, tindakan itu menunjukkan isteri dihargai dan ingin dikenang dalam setiap momen.
2. Hargai masakan
Setiap kali isteri memasak, berilah pujian walau hanya dengan sebutan ringkas seperti "wah!" atau "sedapnya!".
Reaksi spontan sebegini sudah cukup membuatkan hati isteri berbunga.
3. Belikan jajan kegemaran
Membawa pulang makanan ringan atau snek kegemaran isteri selepas pulang kerja boleh menjadi kejutan manis yang amat dihargai.
4. Bawa makan luar
Tanpa perlu bertanya, bawa sahaja isteri keluar makan sekali-sekala.
Kejutan kecil sebegini bukan sahaja mengurangkan beban isteri, malah memberi ruang berkualiti untuk berdua.
5. Beri sokongan
Memberi masa kepada isteri untuk dirinya sendiri adalah satu bentuk penghargaan yang besar.
Sokongan moral dan ruang untuk berehat atau melakukan perkara yang disukai amat penting bagi kesihatan mental dan emosi isteri.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya, khususnya para isteri yang menyokong saranan tersebut.
Tidak kurang juga suami yang mengakui mereka sering terlepas pandang perkara-perkara kecil yang mampu memberi impak besar terhadap kebahagiaan pasangan.
Jelas sekali, usaha untuk membahagiakan isteri bukanlah sesuatu yang memerlukan modal besar, tetapi cukup dengan keprihatinan dan kasih sayang yang ditunjukkan secara konsisten. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram