
PELABURAN emas kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi selepas peningkatan harga sejak kebelakangan ini.
Menyimpan emas juga antara langkah selamat untuk dijadikan sebagai aset perlindungan di waktu kecemasan atau kegawatan ekonomi.
Namun, dalam keghairahan membeli dan menyimpan emas, ternyata masih ramai yang dilihat kurang faham tentang hak pemilikan khususnya apabila melibatkan ibu dan anak.
BACA LAGI: Selain tambah pahala, sunat hukumnya bagi suami tunai solat 2 kali semata mahu jemaah dengan isteri
Harta seperti emas juga boleh difaraidkan sekiranya ia dipakai atau diberikan kepada ibu. — Gambar hiasan
Ramai beranggapan bahawa tidak menjadi sebarang masalah sekiranya ibu memakai emas seperti rantai atau gelang yang dibeli atas nama anak.
Namun, perkara ini boleh membawa kepada kekeliruan pemilikan dan kesan terhadap pembahagian harta pusaka apabila berlaku kematian.
Menurut pakar kewangan, Shamsuddin Kadir, harta ibu tetap akan difaraidkan tidak kira ia dibeli atas nama anak berdasarkan hukum Islam.
Shamsuddin berkata, jika seseorang ibu meninggal dunia dan memakai sama ada perhiasan atau jongkong emas yang tidak dinyatakan secara jelas sebagai milik anak, maka emas itu dianggap harta si mati dan akan difaraidkan.
"Walaupun emas itu sebenarnya dibeli oleh anak lelaki atau perempuan sekali pun untuk ibunya, tetapi kerana ia berada dalam simpanan dan kegunaan ibu tanpa bukti pemilikan yang jelas, ia tetap akan dibahagikan mengikut hukum faraid.
"Secara tidak langsung, hak anak lelaki sebagai pemilik asal mungkin terjejas, malah boleh menyebabkan anak perempuan atau waris lain turut mendapat bahagian yang tidak sepatutnya.
"Contohnya, jika emas bernilai RM6,000 adalah milik anak lelaki tetapi dipakai oleh ibunya, dan si ibu meninggal dunia, maka emas itu akan dianggap sebagai harta pusaka ibu," katanya kepada Majoriti.
Anak lelaki juga disarankan untuk menyimpan jongkong emas selain membeli perhiasan. — Gambar hiasan
Jelasnya lagi, jika ibu meninggalkan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan, maka faraid akan dikira secara nisbah 2:1.
Anak lelaki pula akan menerima RM2,000 setiap seorang manakala anak perempuan akan menerima RM1,000 setiap seorang sedangkan emas itu sepatutnya milik penuh anak lelaki.
Ia turut terpakai kepada anak perempuan sekiranya dia bertindak membeli emas untuk ibunya.
"Oleh itu, sangat penting untuk mengasingkan dan mendokumentasikan pemilikan emas, sama ada melalui resit pembelian, surat akuan atau disimpan dalam bentuk emas fizikal seperti jongkong emas (gold bar) atas nama anak.
"Pelaburan dalam jongkong emas (gold bar) lebih disarankan berbanding emas perhiasan kerana ia kurang terdedah kepada kekeliruan pemilikan dan nilai susut juga lebih rendah," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram