Julang tokoh silat Melayu, filem Gayong tampil falsafah dan teknik autentik, tanda penghormatan buat mahaguru ADMAR


  • Hiburan
  • Rabu, 30 Apr 2025

Barisan pelakon yang membintangi filem Gayong pada sesi sidang media tayangan perdana di Mid Valley pada Selasa.

DIINSPIRASIKAN daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), filem Gayong ternyata antara naskhah yang dinantikan peminat peminat-peminat filem tempatan.

Pelakon popular Beto Kusyairy, 45, dipilih selaku teraju utama memegang watak ADMAR, bersama-sama barisan selebriti lain seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Mengambil masa lebih dua bulan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Sepang, Selangor dan Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor, filem tersebut akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei 2025.

BACA LAGI: Balas Balik tampil kisah 'espionage', babak saspens cabar adrenalin penonton

BACA LAGI: Tampil identiti Barbarik, Jo Branko cabar adrenalin penonton di konsert Pentas Peluru Cokelat

Pengarahnya, Faisal Ishak berkata, dia yakin filem berkenaan adalah antara naskhah aksi yang dinantikan ramai.

"Saya berasakan Gayong tidaklah sekadar filem aksi semata-mata, tetapi ia juga platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

"Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton bukan sahaja menikmati aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan," ujarnya.

Faisal Ishak mendedikasikan Gayong khas buat legenda ADMAR yang telah mewariskan ilmu seni silat kepada warisan Melayu.

Bercerita lanjut tentang cabaran sepanjang penggambaran filem tersebut, Faisal mengakui menghasilkan kisah seorang tokoh persilatan terkemuka bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, cabaran yang dihadapi bukan sekadar dalam aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.

“Sebagai pengasas seni silat gayong, arwah bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.

“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat gayong,” ujarnya.

Bagi memastikan filem Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, Faisal memberitahu setiap barisan pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi, Yayan serta jurulatih silat gayong yang berpengalaman.

Menurutnya, ia adalah langkah penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap warisan tersebut.

“Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah gayong,” ujarnya.

Pada masa sama, Faisal juga mendedikasikan filem berkenaan sebagai penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.

“Secara jujurnya, saya berbesar hati dapat menerajui sebuah filem yang diinspirasikan dari kehidupan satu legasi, satu perjalanan yang menghubungkan sejarah dan semangat juang,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram