Balas Balik tampil kisah 'espionage', babak saspens cabar adrenalin penonton


  • Hiburan
  • Selasa, 29 Apr 2025

Feroz Kader tampil sisi berbeza dalam arahannya menerusi filem Balas Balik.

LEBIH dikenali di kaca skrin televisyen, pengarah Mohd Feroz Abd Kader Sahib, 49, atau lebih dikenali sebagai Feroz Kader mengambil langkah berani menerjah ke dunia perfileman menerusi Balas Balik.

Mula ditayangkan pada 29 Mei, naskhah tersebut menjadi karya filem ketiganya selepas mencuri kelainan menerusi Seratus yang ditayangkan pada 2022. 

Berbeza dengan filem-filem aksi lain yang banyak mengetengahkan elemen letupan dan tembakan yang menelan kos jutaan ringgit, Balas Balik memberi rasa dan warna baharu dalam kisah yang sarat dengan nilai kesedaran untuk dibawa pulang penonton.

BACA LAGI: Tampil identiti Barbarik, Jo Branko cabar adrenalin penonton di konsert Pentas Peluru Cokelat

BACA LAGI: Santapan petang bersama Raja Permaisuri Agong di Istana Negara rai penggiat industri kreatif

Menampilkan aktor popular, Shukri Yahaya sebagai penggerak naratif, filem tersebut hadir dengan sebuah kisah penyiasatan bergaya seorang detektif yang ditugaskan menyelesaikan ‘puzzle’ penyiasatan kes kematian mengejut seorang CEO.

Shukri Yahaya bertindak sebagai penggerak utama naratif Balas Balik.

"Bila filem genre begini, story line sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip, tiga bulan juga saya ambil masa, berbincang dan tulis. 

"Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang asalnya filem bukan drama,” katanya.

Menggabungkan pelbagai unsur dan konsep filem termasuk nilai komersial, ia nyata berbeza daripada filem arahannya sebelum ini.

"Penonton boleh hubung kait konsep sebegini dengan filem-filem penyiasatan Hollywood. Kami kena pastikan setiap babak ada motif supaya penonton kekal dalam momentum sehingga bertemu jawapan di hujung cerita.

"Nak kekalkan adrenalin, rasa ingin tahu sepanjang cerita dan babak-babak itu sangat penting, the hidden point perlu kemas. 

"Kalau cerita hantu kena ada jump scare, filem ini terletak kepada nilai saspens. Itu yang jadi kata kunci yang pegang, gam perhatian penonton sampai habis. Penonton kena seronok,” katanya yang tetap menerapkan mesej dalam berkarya.

Barisan pelakon membintangi filem Balas Balik.

Tambahnya, Balas Balik tidak hanya fokus kepada watak utama iaitu Detektif Zul (Shukri Yahaya).

"Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan, semua ada motif dan karakter yang mereka harus dikeluarkan," katanya.

Selain Shukri Yahaya, filem itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee, Meor Mohd, Razman Mahayudin, Josiah Lim dan Maisara Sufia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram