
PERCUTIAN aktres cantik kelahiran Hong Kong, Zoey Sham, 38, ke Australia baru-baru ini mencuri tumpuan warga maya memandangkan aktiviti yang dijalankan difahamkan serba mewah dan eksklusif.
Diibaratkan seperti filem Crazy Rich Asians, Zoey yang mendirikan rumah tangga dengan jutawan Malaysia, Dixon Chin pada 2012 cukup teruja meneroka ke lokasi percutian menarik sekitar negara tersebut.
Memuat naik vlog percutian tiga hari dua malam itu di laman Instagram, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk lawatan menaiki helikopter ke kawasan pesisir pantai dan pemandangan gunung indah di Great Barrier Reef, Queensland.
BACA LAGI: Balas Balik tampil kisah 'espionage', babak saspens cabar adrenalin penonton
Dixon Chin (kiri) merupakan seorang tokoh perniagaan Malaysia yang terkenal dalam industri pelayaran dan logistik.
Merupakan lokasi terumbu karang terbesar di dunia, keindahan lanskap panorama dari atas awan itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM5,624 untuk seisi keluarganya.
"Pemandangan Great Barrier Reef dari helikopter cukup menakjubkan, bagi mereka yang mabuk laut, pengangkutan ini adalah pilihan yang bagus," ciapnya pada hantaran tersebut.
Selain itu, keluarga bahagia tersebut turut meneroka lautan biru dengan menaiki kapal selam.
Pengalaman bawah air tersebut memperlihatkan keajaiban terumbu karang yang cukup indah di samping pemandangan ikan jerung, penyu dan pelbagai jenis hidupan laut lain.
"Perkara yang paling menakjubkan ialah dapat melihat banyak ikan lebih daripada yang boleh saya bayangkan.
"Ikan-ikan itu semua berenang ke arah kami dan terasa seperti diperhatikan mereka," katanya.
Percutian itu diakhiri dengan aktiviti 'snorkeling' di pulau tersebut yang kemudiannya dituruti hidangan makan malam istimewa di sebuah restoran mewah berhampiran kawasan jeti berkenaan.
Memuji usaha dan sisi romantis suaminya dalam merancang percutian keluarga, Zoey sangat bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang sangat bertanggungjawab walaupun sentiasa sibuk bekerja.
“Dia sangat bagus, memandangkan ahli perniagaan sentiasa berdepan kekangan masa, suami saya cenderung memilih kualiti berbanding kuantiti.
"Dia akan memilih untuk pergi ke lokasi yang menarik, kami tidak akan pernah berpuas hati jika terlepas momen menarik ketika bercuti," katanya.
Walaupun hanya seketika, percutian itu jelas merupakan satu pengalaman berharga dan menyeronokkan buat keluarga kecil tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram