Pernah ditolak UPU walaupun 6A SPM, kisah inspirasi pelajar cemerlang kini bergelar editor buku


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Nursyafiqah merupakan bekas penuntut UMS dan kini bergelar editor buku.

SEBUAH kisah inspirasi mengundang perhatian ramai apabila seorang bekas pelajar, Nursyafiqah Roslan yang pernah ditolak beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), kini berjaya menamatkan pengajian di universiti dan bergelar editor buku sepenuh masa.

Kisah bermula pada 2014 apabila dia yang memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengemukakan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) ke Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan politeknik.

Namun, segalanya tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila tiada satu pun yang menerima permohonannya.

BACA LAGI: Jangan leka! 5 peranan ibu bapa atur hala tuju anak lepas tamat SPM

BACA LAGI: Elak stres, isteri zaman moden lebih utamakan karier berbanding bergelar suri rumah

"Saya gagal di peringkat ujian fizikal ketika temu duga IPG. Kemudian, permohonan saya ke UiTM juga ditolak walaupun sudah membuat rayuan. Saya turut cuba nasib di politeknik, namun tiada tempat kosong untuk saya," katanya.

Kekecewaan berganda dirasai apabila terpaksa melangkah pulang dari politeknik dengan tangan kosong dan hati yang luluh.

Namun, harapan untuk melanjutkan pengajian ke menara gading akhirnya menjelma selepas mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam dengan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Syukur, saya disambut baik oleh pihak sekolah dan cikgu Suhaibul. Saya dimasukkan ke aliran sastera dan ternyata tingkatan enam sangat menyeronokkan," katanya lagi.

Usaha keras dan kecekalan dalam menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun 2017, Nursyafiqah memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67, menjadikannya antara 10 pelajar terbaik sekolah tersebut.

Kejayaan itu membawanya ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang mana dia menamatkan pengajian selama tiga tahun dan menggenggam segulung ijazah pada 2020.

Kini bergelar editor buku sepenuh masa, wanita tersebut berkongsi pengajaran penting dari perjalanan hidupnya bahawa kegagalan bukanlah penamat, tetapi langkah pertama menuju kejayaan.

"Kita tidak selalu dapat apa yang kita harapkan. Tapi ALLAH akan berikan apa yang terbaik untuk kita.

"Kejayaan itu tidak semestinya akademik sahaja, jadi anak yang baik, rajin bekerja, berdikari - itu semua juga kejayaan," katanya.

Kisah itu menjadi bukti bahawa setiap kegagalan menyimpan hikmah dan usaha tidak kenal lelah kerana setiap individu punya waktunya sendiri untuk bersinar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram