
DUNIA hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian bekas wartawan hiburan TV3, Md Nasir Ahmad, yang lebih dikenali sebagai Nas Ahmad.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun, pagi Khamis, sekitar pukul 9.49 pagi di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Berita sedih itu dikongsikan oleh pengacara terkenal, Fedtri Yahya, melalui laman Instagram miliknya.
BACA LAGI: Beto Kusyairy jalani fisio rawat 'slip disc', isteri jadi tulang belakang sokong karier lakonan
BACA LAGI: Kembali jadi bapa ketika berusia 53 tahun, Afdlin Shauki anggap sebagai peluang ke-2
"Buat yang mengenali wartawan Nas Ahmad, beliau telah meninggal dunia pagi tadi (Khamis).
"Innalillahiwainnailaihirojiun. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin ya rab’bal a’llamin," tulisnya.
Sementara itu, menantunya yang hanya dikenali sebagai Farhana memaklumkan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara dekat Petaling Jaya, Selangor.
"Saya Farhana, menantu arwah Nas Ahmad. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara sebelum Asar hari ini.
"Buat masa sekarang jenazah sedang dbawa ke Surau As Sahabbah Seksyen 7 untuk diuruskan," katanya ringkas di laman Facebook milik Nas Ahmad.
Nas Ahmad yang berkhidmat lama dalam bidang kewartawanan hiburan TV3, terkenal dengan pengetahuan mendalam dalam dunia seni dan hiburan.
Namun, sejak Januari 2023, beliau berdepan dengan ujian kesihatan yang berat apabila disahkan menghidap penyakit jantung.
Dalam usaha untuk mendapatkan rawatan, Allahyarham dilaporkan memerlukan kos pembedahan yang melebihi RM30,000.
Menjengah ke laman media sosial, peminat dan rakan-rakan media menganggap pemergian Nas Ahmad sebagai satu kehilangan besar, yang meninggalkan kenangan manis serta sumbangan besar terhadap perkembangan industri hiburan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram