
PENDIDIKAN mengenai batasan peribadi atau keselamatan tubuh tidak seharusnya menunggu hingga anak-anak meningkat usia.
Seorang wanita baru-baru ini menarik perhatian di media sosial apabila berkongsi inisiatif mendidik anak perempuannya berusia tiga tahun tentang keselamatan tubuh badan sejak usia muda.
Menurut beliau, setiap kanak-kanak berhak mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan terhadap tubuh mereka.
BACA LAGI: RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak diperketat
BACA LAGI: Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'
Usaha itu katanya, bukan sahaja penting untuk membina keyakinan diri anak, malah menjadi langkah awal dalam melindungi mereka daripada sebarang bentuk penderaan atau pelanggaran hak.
"Mengajar anak saya tentang good touch and bad touch.
“Tidak pernah terlalu awal untuk ajar mereka tentang keselamatan tubuh badan. Melindungi anak-anak kita bermula dengan pendidikan,” katanya menerusi ruangan kapsyen di Instagram, _small_madam.
Berdasarkan video berdurasi 43 saat itu, wanita berkenaan dilihat menguji anaknya dengan menyentuh beberapa bahagian termasuk di kepala, pipi, hidung, dada, punggung, alat sulit serta memeluknya sambil mengusap bahagian belakang kanak-kanak itu, sambil bertanyakan sama ada sentuhan itu baik atau tidak.
Beliau dalam pada itu turut menekankan pentingnya normalisasi perbualan tentang keselamatan diri dalam kalangan keluarga.
Mesej seperti ‘badan anda, peraturan anda’ perlu difahami oleh setiap kanak-kanak agar tahu bahawa mereka mempunyai hak untuk berkata tidak dalam situasi yang mendatangkan ketidakselesaan.
Beliau turut mengajak ibu bapa lain untuk tidak mengabaikan kepentingan topik tersebut dan menjadikan ia sebahagian daripada didikan harian.
"Sudahkah anda berbincang tentang ini dengan anak? Mari jadikan perbualan ini sesuatu yang biasa di setiap rumah," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram