Tak ada istilah ‘termengandung', rancang anak bukan hanya tanggungjawab isteri, suami juga perlu hormat tubuh pasangan


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Perancangan keluarga bukan sekadar teknikal atau perubatan, tetapi melibatkan kerjasama dan persefahaman antara pasangan. — Gambar hiasan dijana AI

KERJASAMA dan rasa hormat antara pasangan suami isteri amat penting, khususnya apabila melibatkan soal merancang kehamilan.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna aplikasi Threads, pika.qila yang menyentuh tentang isu perancangan keluarga, tanggungjawab suami isteri dan kepentingan menghormati tubuh wanita dalam perkahwinan.

Perkongsian tersebut dimuat naik sebagai reaksi terhadap pendedahan doktor perubatan tentang seorang wanita berusia pertengahan 40-an yang datang ke klinik untuk menanggalkan alat perancang kehamilan Implanon.

BACA LAGI: [VIDEO] Kecewa tak dapat layan anak saudara di Disneyland, wanita obes nekad jalani gaya hidup sihat, hilang 97kg dalam 3 tahun

BACA LAGI: Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri

Tangkap layar memaparkan hantaran seorang doktor di Threads baru-baru ini.

Wanita berkenaan difahamkan sudah tiga kali menjalani pembedahan caesarean, namun suaminya masih berhasrat agar beliau hamil lagi.

Memberi pandangan terhadap hal itu, pika.qila berkata, isu kehamilan dan perancangan keluarga tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh wanita sahaja.

“Wanita, tolong hormat badan awak. Suami, bincang dengan isteri dan hormat juga badan isteri,” tulisnya.

Pengguna tersebut turut berkongsi nasihat praktikal untuk pasangan berkahwin, antaranya tentang pentingnya suami memainkan peranan dalam merancang keluarga.

Jelasnya, ia termasuklah dengan memahami kitaran haid isteri, mengelak hubungan kelamin dalam tempoh subur dan mengamalkan teknik azal (ejakulasi di luar) seperti disarankan dalam Islam.

“Merancang bukan hanya pada perempuan, tapi penting pada suami terutamanya kalau nak bersama juga, minta kerjasama suami buat cara Islam iaitu azal,” tulisnya lagi.

Beliau turut menasihati isteri agar mengenal pasti ciri tubuh suami, termasuk kewujudan ejakulasi pramatang (pre-cum) yang juga berpotensi menyebabkan kehamilan walaupun tanpa ejakulasi penuh.

Menurutnya, ia penting dalam mengenal pasti risiko kehamilan tanpa perancangan, terutamanya dalam minggu subur selepas haid.

Pengguna itu turut mengingatkan tentang kesan sampingan ubat perancang terhadap hormon dan tubuh wanita.

"Perancangan keluarga bukan sekadar teknikal atau perubatan, tetapi juga melibatkan kerjasama dan persefahaman antara pasangan.

“Tak ada istilah ‘termengandung’ kalau tiada usaha untuk merancang, jangan main redah saja, sebab kita sahaja yang tahu kemampuan ekonomi dan kesihatan mental di tahap mana,” tambahnya.

Perkongsian itu meraih reaksi pelbagai, dengan ada yang menyokong alternatif teknik yang dimaklumkan pika.qila.

Akui mrsss_mimin, perancangan keluarga tanpa penggunaan alat hormon kini menjadi pilihan sebahagian wanita yang mementingkan kestabilan kesihatan fizikal dan emosi.

"Teknik ini berkesan untuk saya. Memang kena kerjasama dengan suami. Dari sebelum anak ketiga, sekarang anak ketiga dah berumur empat tahun pun guna cara ini.

"Yang penting percaya pada suami. Golongan yang sayang dan faham keadaan isteri akan memahami.

"Ada yang jenis pentingkan diri, tidak mahu isteri gemuk, tapi beliau sendiri enggan bagi kerjasama main 'pancut' sesuka hati, sabar sahajalah (pengalaman kawan sekeliling)," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram