[VIDEO] Pernah tak dilayan waktu 'interview' tepi jalan, anak cikgu bina Xiaomi jadi 5 syarikat teratas pengeluar telefon pintar


  • Bizz
  • Khamis, 08 Mei 2025

Hanya dalam tempoh kira-kira sedekad, Lei mengubah Xiaomi menjadi antara syarikat peranti teknologi terkenal di seluruh dunia terutamanya di China dan negara membangun.

MESKIPUN baru diasaskan pada 2010, Xiaomi tidak perlu menunggu masa lama untuk berkembang pesat menjadi salah satu jenama teknologi terkemuka di dunia.

Dengan nilai syarikatnya mencecah AS$100 bilion (RM460 bilion), Xiaomi kini berada di kedudukan antara lima pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, dengan operasi meliputi lebih 100 negara di seluruh dunia.

Dikenali dengan telefon dan peranti pintar inovatif, Xiaomi berjaya memecah pasaran global dengan menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Pendekatan itu menjadikan mereka sangat popular dalam pasaran negara membangun seperti India, Indonesia, dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Tidak cukup dengan itu itu, inovasinya turut meliputi pelbagai produk teknologi gaya hidup sehingga meletakkannya sebagai salah satu syarikat peneraju dunia digital global.

Anak cikgu jadi usahawan teknologi

Di sebalik kejayaan besar dikecapi Xiaomi adalah seorang pengasas yang memiliki wawasan jelas di samping pengalaman luas dalam industri teknologi baharu.

Dilahirkan pada 16 Disember 1969 di Xiantao, Hubei, China, Lei Jun memiliki latar belakang sederhana iaitu daripada keluarga guru.

Pendidikan awalnya diperolehi di Wuhan No. 4 Middle School sebelum menyambung pengajian di Universiti Wuhan dalam jurusan Sains Komputer.

Pendidikan tersebut memberikan asas yang kukuh kepadanya alam bidang teknologi yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjaya beliau.

Lei datang daripada latar belakang sederhana dengan dibesarkan dalam keluarga guru. — Agensi 

Sebelum mengasaskan Xiaomi, Lei Jun terlebih dahulu mengumpul pengalaman sektor teknologi dengan menyertai Kingsoft - sebuah syarikat perisian yang terkenal di China - pada awal 1990-an.

Tempohnya di situ juga menyaksikan beliau diberi peranan sebagai ketua pegawai eksekutif.

Di bawah kepimpinan beliau, Kingsoft berkembang pesat dan berjaya dalam pasaran perisian komputer di China.

Selain itu, beliau turut mengasaskan Joyo.com iaitu sebuah platform e-dagang yang akhirnya dibeli oleh Amazon pada harga AS$75 juta (RM345 juta) pada 2024.

Kejayaan diperolehi dalam perusaaan teknologi dimulakan beliau secara langsung memberikannya pendedahan mengenai potensi pasaran teknologi dan e-dagang di China.

Pada 2010, Lei Jun memutuskan untuk menubuhkan Xiaomi dengan matlamat mencipta telefon pintar berkualiti tinggi yang mampu dimiliki semua lapisan masyarakat.

Dengan prinsip jualan langsung kepada pengguna menggunakan model perniagaan platform dalam talian, Xiaomi dapat mengurangkan kos pengedaran dan menumpukan kepada pengeluaran produk yang menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan.

Xiaomi memulakan langkah pertama mereka dengan melancarkan telefon pintar Mi 1 pada 2011, yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna kerana ciri-ciri inovatif dan harga sangat kompetitif.

Ditolak 15 kali di tepi jalan

Xiaomi berada di kedudukan antara lima pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, dengan operasi meliputi lebih 100 negara di seluruh dunia. — Agensi

Dalam pada itu, turut tular baru-baru ini, video memaparkan Lei Jun dipercayai sedang melakukan temu bual mengenai produk pertanian dalam satu rakaman siaran televisyen pada 2013.

Menerusi klip tersebut, beliau yang masih belum popular ketika itu dilihat mengalami kesukaran menarik perhatian pejalan kaki terhadap perkara yang ingin dikongsikan.

Malah, beberapa individu yang cuba didekatinya juga dilihat bersikap acuh tidak acuh terhadap Lei Jun dengan beliau dilaporkan ditolak sebanyak 15 kali oleh pejalan kaki yang ditegurnya.

Video terbabit bagaimanapun turut menunjukkan perubahan nasib yang berlaku terhadap usahawan tersebut.

Ini kerana kira-kira selepas lebih sedekad daripada peristiwa itu, kejayaan Lei Jun membangunkan Xiaomi menyaksikan beliau kini mendapat perhatian luar biasa daripada pengguna.

Perkara itu dikongsikan menerusi klip memaparkan ketibaan beliau pada satu acara dipercayai pada 2025 yang dinantikan oleh orang ramai.

Di sebalik video awal menunjukkan usaha beliau untuk menjual produk di jalanan, kejayaan kemajuan Xiaomi dipacu oleh pendekatannya yang memanfaatkan pemasaran dalam talian.

Ia dilaksanakan menerusi strategi jualan langsung kepada pengguna melalui platform dalam talian, yang membolehkan mereka mengurangkan kos pengedaran dan menawarkan produk pada harga yang lebih rendah.

Dengan pendekatan itu, Xiaomi berjaya menarik minat ramai pengguna tanpa perlu membuka kedai fizikal secara besar-besaran pada permulaan.

Sebagai tambahan kepada penjualan dalam talian, Xiaomi juga memperkenalkan konsep flash sales yang sangat popular, yang mana unit terhad telefon pintar dijual dalam tempoh masa singkat, sekali gus mencipta suasana keterujaan dalam kalangan pembeli.

Selain itu, Xiaomi juga berinovasi dalam memperkenalkan ekosistem produk yang luas, daripada telefon pintar, peranti rumah pintar, jam tangan pintar dan termasuk kereta elektrik (EV).

Pada hari ini, nilai kekayaan bersih Lei Jun yang juga digelar 'Steve Jobs China' - kerana inovasi dibawa syarikatnya - dianggarkan sekitar RM200.1 bilion, berdasarkan senarai dikeluarkan Forbes Billionaires 2025.

Ia meletakkan beliau berada pada kedudukan ke-32 dalam senarai orang terkaya di dunia — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram