[VIDEO] 'Mulut minta cerai tapi hati mahu dipujuk bukan dilepaskan,' Aliff Syukri dipuji faham wanita, matang beri tip cinta


  • Hiburan
  • Rabu, 30 Apr 2025

Datuk Seri Aliff Syukri (kanan) bersama isteri tercinta, Datin Seri Shahida (kiri).

NAMA Datuk Seri Aliff Syukri sering dikaitkan dengan kontroversi, namun kali ini usahawan sensasi itu mendapat pujian ramai apabila tampil berkongsi pandangan matang berkaitan isu rumah tangga. 

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial, beliau menyentuh soal komunikasi dalam perkahwinan khususnya emosi wanita ketika bergaduh dengan pasangan.

Perkongsian tersebut bukan sahaja mengejutkan ramai tetapi turut mencetuskan reaksi hangat dalam kalangan warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan kata-kata beliau yang disifatkan sebagai penuh pemahaman terhadap jiwa seorang wanita.

BACA LAGI: Cantik dari dapur, brokoli dan bawang miliki manfaat cantikkan rambut, elak gugur

BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis

@modelistaempire Tips Rumah Tangga dari Dato Aliff Syukri #aliffsyukri #papalaris Funny - Gold-Tiger

Dalam video tersebut, Aliff berkongsi pandangannya mengenai emosi dan komunikasi wanita dalam sesebuah perkahwinan. 

Menurut beliau, kebanyakan wanita apabila marah atau dalam situasi bergaduh sering mengeluarkan kata-kata seperti 'ceraikan aku' atau 'berambus kau'.

Namun hakikatnya ia bukan bermaksud literal, sebaliknya merupakan cara wanita meluahkan perasaan yang inginkan perhatian, belaian dan pujukan daripada suami.

“Mulut perempuan cakap sedemikian sebenarnya dia maksudkan sayangi aku, peluklah, pujuklah dan belailah aku,” katanya yang mengerti keperluan memahami naluri seorang wanita.

Aliff juga menegaskan bahawa ramai lelaki tersilap tafsir kata-kata isteri yang sedang beremosi dan bertindak terburu-buru dengan menceraikan isteri tanpa memahami maksud sebenar di sebalik luahan tersebut.

"Lelaki banyak b*d*h dik. Apabila perempuan cakap kau berambus, dia pun pergi berambus dan ceraikan isteri. 

"Dia fikir perempuan waras masa tu, padahal itu jeritan hati yang sedang meminta difahami,” katanya lagi.

Tambahnya, antara punca keretakan rumah tangga adalah apabila wanita yang sudah berjaya dan berdikari berasakan tidak lagi perlukan seorang lelaki. 

Namun, Aliff Syukri berkata, perkahwinan tetap memerlukan rasa hormat antara satu sama lain dan lelaki secara fitrah memang ingin menjadi pemimpin dalam rumah tangga.

“Apabila wanita bercakap tanpa tapisan, lelaki akan rasa dirinya tidak diperlukan.

"Sebab itu lelaki kadang dia tidak mahu cari wanita yang lebih berjaya dari dirinya. Jadi, wanita tolong jangan bercakap banyak sebab mulut biasanya tidak sama dengan apa dalam hati dia, ” katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut menerima respons positif daripada ramai pengguna media sosial khususnya golongan wanita yang bersetuju dengan pandangan tersebut.

"Bab ini dia (Aliff) matang," tulis Naga Emas.

Seorang lagi pengguna, Terbangtinggi turut bersetuju dengan beranggapan perempuan cakap lain dengan perkara yang diingini.

Individu, Mahpulnuraini pula beranggapan Aliff Syukri memahami hati wanita. 

"Betul apa yang Datuk cakap. Datuk faham hati perempuan yang ramai lelaki tidak tahu," katanya. 

Pengguna, Fatimah Ismail meluahkan kekagumannya terhadap kebolehan Aliff menyampaikan isu rumah tangga dengan mudah difahami.

“Setuju sangat-sangat Datuk. Datuk serba bolehlah. Datuk boleh jadi kaunselor rumah tangga. Penerangan Datuk jelas. Apa yang Datuk cakap tu semuanya betul," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram