
SELEPAS melahirkan cahaya mata, menjaga kesihatan fizikal dan mental menjadi cabaran yang besar buat kebanyakan ibu baharu.
Namun begitu menurut kajian terbaharu, meluangkan sekurang-kurangnya dua jam setiap minggu bagi aktiviti seperti berjalan laju atau berbasikal mampu memberikan kesan besar kepada kesihatan ibu.
Malah, pakar menyarankan agar ibu-ibu memulakan rutin itu seawal 12 minggu pertama selepas bersalin untuk mendapatkan manfaat penuh, termasuk memperbaiki kualiti tidur yang sering terganggu.
BACA LAGI: Dikenali sebagai 'superfood' kaya khasiat, biji chia anjalkan kulit, sihatkan rambut
Ibu baharu perlukan sokongan dan panduan realistik untuk kembali aktif, demi kesihatan mereka sendiri dan juga kesejahteraan keluarga. — Gambar hiasan
Kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine itu menyarankan senaman dilakukan secara konsisten, sekurang-kurangnya empat hari seminggu, melibatkan gabungan aktiviti aerobik dan latihan rintangan.
Latihan seperti sit up, squat, push up, angkatan kaki dan plank bukan sahaja membantu menguatkan otot, malah memberi sokongan kepada tubuh yang masih dalam proses pemulihan.
Selain itu, latihan menguatkan otot dasar pelvis turut disyorkan setiap hari bagi mengurangkan risiko masalah inkontinens urin (ketidakupayaan mengawal pembuangan air kencing), yang biasa dialami selepas bersalin.
Pakar dari Canadian Society for Exercise Physiology menegaskan bahawa kualiti tidur yang baik, di samping rutin senaman yang seimbang, berupaya mengurangkan simptom kemurungan dan kebimbangan.
Ia juga dapat memperbaiki kesihatan muskuloskeletal, membantu dalam pengurusan berat badan, serta mengurangkan keletihan tanpa menjejaskan bekalan susu ibu.
Mereka juga mengingatkan bahawa kembalinya ibu kepada aktiviti seperti berlari dan latihan rintangan biasanya selamat selepas proses penyembuhan lengkap, termasuk bagi mereka yang melalui kelahiran secara pembedahan Caesarean.
Bagaimanapun, hakikat bahawa penjagaan bayi dan penyusuan memberi kesan besar terhadap rutin harian tidak boleh diabaikan.
Dalam situasi tertentu, tidak semua ibu mampu mengikuti saranan itu dengan sempurna walaupun sedikit kemajuan yang dicapai, ia tetap memberi manfaat besar kepada kesihatan fizikal dan mental.
Sementara itu, pengasas laman keibubapaan British, Mumsnet, Justine Roberts, menyambut baik garis panduan itu yang dianggap sangat diperlukan.
Namun beliau mengingatkan, saranan seperti membina rutin tidur yang sihat mungkin kedengaran indah, tetapi jauh lebih sukar untuk dilaksanakan di dunia sebenar, terutamanya bagi ibu-ibu yang sudah pun berdepan keletihan melampau dalam menguruskan bayi baru lahir.
Kajian itu yang mengumpulkan analisis daripada 574 kajian lain turut mengambil kira pelbagai faktor seperti kemurungan (postpartum), keletihan, kecederaan, masalah pertumbuhan bayi, serta isu kualiti dan kuantiti susu badan.
Penemuan itu jelas menunjukkan betapa pentingnya ibu baharu diberi sokongan dan panduan realistik untuk kembali aktif, demi kesihatan mereka sendiri dan juga kesejahteraan keluarga. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram