Zulin Aziz bersedekah, titip doa khas buat Bella semasa di Raudhah


  • Hiburan
  • Selasa, 19 Apr 2022

Zulin dan suami berangkat untuk menunaikan ibadah umrah pada minggu lalu.

PELAKON, penyanyi dan pengacara, Zulin Aziz yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah juga tidak ketinggalan berkongsi kenangan menerusi hantaran di laman sosial Instagram.

Selain menunaikan umrah Zulin yang ke sana bersama suaminya, Farhan Norzaini turut berkongsi beberapa aktiviti yang dilakukan mereka di sana.

Menerusi hantaran pada Isnin, Zulin berkongsi dia mengambil kesempatan untuk bersedekah di bulan Ramadan dengan mengagihkan bungkusan makanan kepada jemaah umrah lain di sana.

"Sedekah Ramadan. MashaALLAH... Alhamdulillah selesai sedekah dan menyempurnakan amanah untuk hari ini," tulisnya di status.

Meskipun sibuk menunaikan umrah, Zulin juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan kes penderaan Bella dan turut mendoakan agar keadilan memihak buat kanak-kanak Sindrom Down itu.

Berkongsi pada Sabtu, Zulin memberitahu, dia meluahkan rasa syukur diberikan kesempatan untuk masuk ke Raudhah buat kali ketiga dan menggunakan peluang tersebut untuk menunaikan solat hajat serta mendoakan kebenaran dan keadilan buat adik Bella.

"Aku direzekikan lagi masuk Raudhah kali ketiga. Alhamdulillah, kali ini khas buat adik Bella.

"Solat sunat hajat dan doa semoga ALLAH tunjukkan kebenaran dan berikan keadilan buat adik Bella di dunia ini. Semoga ALLAH perkenankan doa-doa kita semua," kongsinya.

Para peminat turut memuji tindakan Zulin dan sama-sama mendoakan agar keadilan buat adik Bella dapat ditegakkan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

.