Sarimah, Lisdawati antara selebriti sumbang baju raya 'pre-loved' untuk mereka memerlukan


Sarimah (kiri) dan Lisdawati masing-masing menyumbang koleksi baju raya lama mereka.

DUA selebriti terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Lisdawati menyeru rakan-rakan artis untuk menyumbang baju raya ‘pre-loved’ mereka kepada golongan yang memerlukan.

Inisiatif itu dibuat menerusi video di Instagram masing-masing yang mengajak orang ramai supaya tidak membazir dan berkongsi rezeki sempena Ramadan.

Ia bersempena dengan satu kempen yang dianjurkan oleh salah sebuah stesen radio tempatan.

BACA LAGI: Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri

BACA LAGI: Fesyen warga Singapura lebih sekular, Malaysia minat perincian, Dahlia lebih selektif bawa jenama tempatan ke seberang tambak

Dalam video yang dimuat naik, Sarimah berkongsi usahanya dalam mencari koleksi baju raya lamanya.

"Saya sudah lakukan bahagian saya dan jumpa empat pasang baju. Baju-baju ini akan dihantar kepada anak yatim dan golongan yang memerlukan.

“Dekat sini, saya nak jemput kawan-kawan artis lain untuk sama-sama turut serta menyumbang," katanya.

Sementara itu, Lisdawati juga melakukan inisiatif sama.

“Saya nak seru semua rakan artis saya, kalau anda mempunyai baju-baju yang cantik dan tidak mahu pakai lagi, jom kita sumbang kepada anak-anak yatim," jelas isteri kepada pelakon, Fauzi Nawawi itu.

Beliau turut tidak terlepas berkongsi koleksi baju raya lamanya serta suaminya yang akan diagihkan kepada insan memerlukan.

Seruan mereka mendapat sambutan positif daripada pengikut serta rakan selebriti lain, yang turut menyertai usaha murni ini.

Antaranya ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Scha Alyahya, Sherry AlHadad dan Zulin Aziz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram