Empat bintang drama 'From Saga With Love' kongsi cabaran selami watak di bumi Samurai


  • Hiburan
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Barisan pelakon drama From Saga with Love yang ditayangkan di Viu.

DRAMA From Saga With Love merupakan satu drama siri original terbaru yang sedang ditayangkan pada setiap Khamis, pukul 12 tengah hari menerusi platform penstriman Viu.

Drama From Saga With Love dibintangi pelakon hebat seperti Siti Khadijah Halim, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Ikmal Amry.

Selain itu, barisan pelakon lama seperti Vanidah Imran, Fatimah Abu Bakar, Zulin Aziz, Sharifah Amani, Zoey Rahman, Tiara Anchant, Alvin Chong, Fahmy Reza, Farid Azmier dan ramai lagi turut menyerikan lagi drama tersebut.

Drama arahan Umi Salwana Omar yang ditayangkan sejak 21 September lalu itu menggabungkan elemen romantik dan komedi.

Drama tersebut mengisahkan tentang watak Karma yang dilakonkan oleh Siti Khadijah Halim, seorang influencer yang menipu untuk menjadi pembantu peribadi serta jurubahasa bagi pelakon terkenal, Bianca Rozario (lakonan Sophia Albarakbah) ketika membuat lawatan di Saga, Jepun.

WhatsApp Image 2023-10-05 at 8.49.12 PM

Dari kiri: Fimie Don, Ikmal Amry, Siti Khadijah dan Sophia Albarakbah ketika berada di Jepun.

Berikut senarai pelakon dengan watak masing-masing:

Siti Khadijah Halim sebagai Karma

Sophia Albarakbah sebagai Bianca

Fimie Don sebagai Bob

Ikmal Amry sebagai Sham

Vanidah Imran sebagai Kathy

Fatimah Abu Bakar sebagai Rozita (Mak)

Zulin Aziz sebagai Suhaila (Along)

Sharifah Amani sebagai Fadhila (Angah)

Zoey Rahman sebagai Zairin

Tiara Anchant sebagai Daisiy

Pelakon Fimie Don berkata, drama yang memiliki 10 episod itu mengambil masa selama dua tahun untuk menjalani proses penggambaran.

Namun, Fimie berkata, masa yang lama diambil untuk menghasilkan drama tersebut membawa kepada proses penceritaan yang sangat berasas dan dialog yang padu.

"Sejak tahun 2020 lagi perancangan untuk menghasilkan drama ini sudah dibentuk.

"Idea pun semua sudah ada, cuma proses skrip ambil masa yang lama untuk menyampaikan sesuatu yang bagus, di samping beberapa kekangan lain," katanya.

Selain itu, menurut pelakon utama drama ini, Siti Khadijah, tidak mudah untuk menghasilkan watak utama dengan melibatkan perbezaan budaya dan negara luar.

"Jadi dalam hati saya, terfikir senang sahaja mahu membawa watak Karma ini, disebabkan ada sedikit sebanyak karakter diri saya dalam watak Karma itu.

"Tapi bila saya cuba mainkan watak ini, baru saya tahu yang ia tidak mudah rupanya untuk membawakan karakter ini, bahkan rasa sedikit cringe dan kekok kerana rasa seperti membawa diri sendiri ke dalam lakonan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran, Siti Khadijah berkata, mereka banyak mengulangi babak lakonan untuk menghasilkan satu rakaman video yang sempurna di mata penonton.

"Banyak kali juga lakonan semula untuk penggambaran.

"Saya lihat beberapa video yang diambil pengarah Umi, ada juga video babak saya terjatuh yang perlu retake untuk menjadikan lakonan kelihatan sempurna," ceritanya.

Menurut pelakon, Ikmal Amry pula, cabaran bagi dirinya adalah dari sudut perbezaan bahasa yang perlu dipelajari.

"Apabila dapat tahu saya perlu berbahasa Jepun, saya rasa drama ini lain daripada yang lain.

"Bagaimanapun, saya akan cuba untuk dapatkan watak ini, Alhamdulillah berjaya," katanya.

Ikmal berkata, kekangan lain dihadapi pelakon sepanjang berada di Saga adalah perbezaan bahasa.

"Rakyat Jepun sangat bangga dengan bahasa mereka, sampaikan perkataab 'okay' yang sangat mudah bagi kita untuk faham pun tidak difahami oleh mereka.

Mengulas lanjut, Ikmal mengambil inisiatif dengan melantik jurulatih peribadi yang fasih berbahasa Jepun bagi melakonkan watak dalam drama ini.

"Saya memang ada personal trainer kerana watak saya dalam drama ini memang perlu berbahasa Jepun.

Meskipun demikian, Ikmal berkata, jurulatih peribadi itu hanya untuk mengetahui asas berkaitan cara percakapan harian orang Jepun sahaja.

Hal ini kerana, drama tersebut memiliki penterjemah peribadi untuk membolehkan para pelakon berhubung dan berkomunikasi dengan orang Jepun sepanjang melakukan penggambaran di negara Matahari Terbit itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram