Miliki lebih 2,000 cawangan seluruh dunia, ini rahsia Zara jadi antara kuasa besar empayar fesyen runcit global


  • Relaks
  • Rabu, 23 Apr 2025

Menurut data terbaharu yang dijumpai, Zara memiliki lebih 2,000 cawangan di seluruh dunia setakat tahun 2023.

KETIKA jenama fesyen lain melaburkan ribuan hingga jutaan ringgit untuk pengiklanan, Zara memilih kelajuan, data dan kawalan rantaian bekalan sebagai senjata utama.

Itulah menjadikan Zara sebagai salah satu kuasa besar dalam dunia fesyen runcit global dan sehingga kini cawangannya melebihi 2,000 di seluruh dunia.

Zara tidak sibuk mengejar perhatian, sebaliknya mereka fokus memahami apa yang pelanggan benar-benar mahukan.

BACA LAGI: Bukan saja sedap, 5 jus buah ini bantu kulit wajah mulus dan 'glow'

BACA LAGI: Bukan sekadar untuk cantik, mekap nipis ketika bersukan ibarat 'mood booster', tingkatkan keyakinan diri

Pelanggan tidak akan menemui 50 item sama di rak Zara. — Gambar hiasan

Di setiap cawangannya, pengurus kedai memainkan peranan penting sebagai 'penganalisis' di lapangan yang mengambil maklum balas daripada setiap pelanggan.

Maklum balas itu meliputi item yang kerap dicuba, mempunyai permintaan tinggi serta item yang kurang menyumbang kepada keuntungan.

Maklumat tersebut kemudiannya disalurkan kepada pasukan reka bentuk untuk menghasilkan rekaan atau koleksi baharu dalam masa kurang tiga minggu.

Sistem tersebut jauh lebih pantas berbanding pesaing yang biasanya mencipta koleksi baharu dalam tempoh enam sehingga 12 bulan lebih awal.

Zara pula beroperasi seperti syarikat teknologi yang bertindak lebih pantas dan bukannya seperti peruncit tradisional.

Apa rahsianya? Zara memiliki sebahagian besar rantaian bekalannya, dari kilang fabrik hingga ke rak di butiknya.

Model perniagaan ini juga membolehkan Zara mengehadkan stok dan hanya menghantar dalam kuantiti kecil dan menilai sambutan pasaran secara langsung.

Jika sesuatu rekaan gagal dijual, ia akan segera ditarik balik.

Namun jika sesuatu rekaan menjadi tular, stoknya akan segera ditambah secara global dalam masa beberapa hari.

Di Zara juga, pelanggan tidak akan menemui 50 item serupa di sepanjang rak, sekali gus menimbulkan rasa keinginan untuk segera membeli item terlibat tanpa perlu bergantung kepada potongan harga atau promosi.

Menyentuh mengenai potongan harga, Zara dilihat jarang menjalankan aktiviti promosi berikutan mereka melatih pelanggan untuk membuat bayaran penuh dan pantas.

Dengan pertukaran inventori setiap minggu, pelanggan juga lebih kerap berkunjung ke Zara bukan sekadar membeli-belah, malah untuk 'memburu' item yang disasarkan.

Justeru, jelaslah bahawa kekuatan Zara terletak pada penukaran item di raknya sahaja, bukan pada iklan, pempengaruh fesyen dan promosi. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram