Bambam, (G)I-DLE bakal gegar Stadium Merdeka Jun ini


  • Hiburan
  • Khamis, 24 Apr 2025

Konsert yang bakal berlangsung pada 14 Jun depan mencatat sejarah sebagai persembahan K-Pop pertama di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. — Live Universe

TAHUN 2025 menyaksikan satu lagi sejarah tercipta dalam dunia hiburan tanah air apabila Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bakal bergema dengan sorakan peminat K-Pop.

Lokasi ikonik itu akan menjadi pentas kepada dua nama besar dari Korea Selatan iaitu (G) I-DLE dan BamBam menerusi konsert mega anjuran Live Universe pada 14 Jun nanti.

Wakil Live Universe dalam satu kenyataan menyifatkan acara itu sebagai salah satu pencapaian bersejarah untuk jangka masa panjang.

BACA LAGI: Miliki lebih 2,000 cawangan seluruh dunia, ini rahsia Zara jadi antara kuasa besar empayar fesyen runcit global

BACA LAGI: Label 'streetwear' tempatan setanding luar negara, pamer identiti budaya kontemporari Malaysia

“Kami berdedikasi untuk membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia.

"Sebagai tuan rumah kepada (G) I-DLE dan BamBam di Stadium Merdeka, acara ini bukanlah sekadar konsert, tetapi ia adalah pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Berdiri di bawah naungan Cube Entertainment, (G) I-DLE yang terdiri daripada lima anggota itu dikenali dengan lagu-lagu hit seperti Latata, Oh My God dan Tomboy.

Mereka bukan sekadar kumpulan pop, malah diiktiraf antarabangsa atas pendekatan muzik inovatif serta pengaruh seni tersendiri, termasuk tersenarai dalam majalah Time menerusi album I Never Die.

Turut memeriahkan pentas ialah bekas ahli GOT7, BamBam yang kini aktif sebagai artis solo.

Selepas kejayaan EP riBBon, BamBam terus mencuri perhatian dalam dunia muzik dan fesyen, termasuk menjadi duta jenama mewah Louis Vuitton.

Tiket konsert sudah mula dijual menerusi laman web Ticket2U.com.my pada 16 April lalu melibatkan enam kategori berharga RM294 hingga RM1,098. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram