Usanita wujudkan 'networking', cipta kuasa penjenamaan bisnes usahawan wanita


  • Relaks
  • Khamis, 24 Apr 2025

Adzliana (kiri), Maryam (berbaju hitam) masing-masing berpendapat bahawa jaringan dan kolaboratif memudahkan usahawan wanita untuk saling menyokong.

"DALAM perniagaan, kita perlukan sistem sokongan. Platform jaringan sangat penting."

Demikian penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan yang lebih mesra disapa Nana ketika ditanya sama ada kolaboratif lebih penting berbanding modal dalam dunia keusahawanan.

Menurut beliau, jaringan dan kolaboratif bukan sahaja memudahkan usahawan wanita saling menyokong, malah menjadi asas memperkukuh penjenamaan dan strategi pemasaran.

BACA LAGI: Dolla jadi hos rumah terbuka raya Airbnb di Bukit Tinggi, 'mencari' seorang tetamu bertuah!

BACA LAGI: Selepas diagnos kanser, Sonali bangkit, berikut 5 parameter bahagia dilakukan

Usanita kini bekerjasama dengan Sekolah Perniagaan Said (Said Business School - SBS), Universiti Oxford bagi melaksanakan program latihan yang mampu memberikan impak positif terhadap pendidikan eksekutif.

“Dalam perniagaan, kita perlukan networking, kita perlukan jaringan dan sistem sokongan. Platform seperti Usanita bukan sahaja menghubungkan usahawan, malah menggalakkan sokongan antara wanita dari segi penjenamaan dan pemasaran,” jelasnya kepada Majoriti ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Usanita di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan bahawa Usanita sentiasa menganjurkan pelbagai program keusahawanan seperti bootcamp, sesi webinar dan bimbingan, termasuk melibatkan selebriti dan penggiat seni.

“Apabila artis memegang produk dalam program kami, itu sudah satu bentuk pemasaran percuma. Usahawan boleh manfaatkan peluang ini untuk kukuhkan jenama mereka secara,” tambahnya.

Salah satu contoh yang dikongsikan ialah program penjenamaan dan pendigitalan semasa pandemik, melibatkan 50 usahawan dan figura popular Datuk Rosyam Nor sebagai duta.

“Program itu sangat membantu mereka ketika krisis. Penjenamaan dan pendapatan mereka meningkat walaupun dalam situasi mencabar,” katanya.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh satu-satunya 'authorized reseller' bagi Bawal Exclusive di Negeri Sembilan, Maryam Anati atau mesra disapa Mamy.

Menurutnya, modal dan kolaborasi saling melengkapi bergantung kepada fasa perniagaan.

“Saya bermula dengan modal yang sangat kecil. Jadi saya berkolaborasi dengan menjual di butik sedia ada. Dari situ, perniagaan saya berkembang,” ujar Maryam.

Beliau juga menceritakan bagaimana pandemik tidak menjejaskan jualannya, malah membawa peningkatan disebabkan kekuatan jenama dan personal branding yang telah dibina sejak awal.

“Walaupun waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan tudung saya tak turun, malah meningkat. Itu kuasa penjenamaan. Orang tetap cari Bawal Exclusive,” katanya.

Kongsinya lagi, beliau mengenali Usanita melalui media sosial dan kini menjadi penyokong aktif program-program yang dianjurkan.

“Saya nampak Datuk Nana dekat televisyen, media sosial, papan iklan, itu yang buat saya tertarik nak tahu lebih lanjut. Apabila dah sertai, saya terus sokong 100 peratus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram