
DALAM era digital yang serba pantas ini, pemberian telefon pintar atau tablet kepada anak-anak kecil sudah menjadi perkara lazim dalam kalangan ibu bapa.
Sama ada untuk menenangkan anak yang meragam, mengisi masa lapang atau sebagai ganjaran tingkah laku baik, gajet kini menjadi 'penjaga senyap' yang sering digunakan bagi memenuhi keperluan harian.
Namun, tanpa pemantauan rapi, pemberian ini boleh mengundang risiko, khususnya apabila anak-anak terdedah kepada kandungan tidak sesuai di platform seperti YouTube.
BACA LAGI : Bekas keeper kebangsaan akui hamil usia 35 tahun mencabar, pantang 90 hari bantu pulih organ reproduktif
Lebih membimbangkan, terdapat beberapa kartun atau animasi yang kelihatan mesra kanak-kanak tetapi mengandungi unsur ganas serta menyeramkan sehingga berpotensi mengganggu kestabilan emosi dan tingkah laku anak jika tidak ditapis dengan betul oleh ibu bapa.
Belum terlambat sebenarnya untuk melindungi si kecil daripada terpengaruh dengan unsur negatif. Majoriti menyenaraikan empat siri animasi kartun yang kurang sesuai dipertontonkan kepada kanak-kanak.
1. Happy Tree Friends
Siri animasi Happy Tree Friends. — Agensi
Siri animasi Happy Tree Friends pernah tular suatu ketika dahulu, dan kini muncul semula di platform seperti YouTube.
Walaupun memaparkan watak-watak comel seperti arnab, tupai dan beruang kecil, namun animasi itu menyembunyikan kandungan yang sangat ganas serta banyak berunsur kematian ngeri.
Memetik laporan portal antarabangsa Medium, rancangan tersebut secara konsisten memaparkan adegan-adegan kejam di mana hampir semua watak utama mengalami penderaan fizikal yang sangat grafik dan ganas.
Apa yang lebih membimbangkan, elemen keganasan dalam rancangan itu bukan sahaja berulang, malah dipersembahkan dengan tahap kreativiti tinggi.
Ia sekali gus menjadikan aktiviti harian seperti memasak, bermain atau bekerja sebagai situasi berisiko maut dan sesuatu yang di luar jangkaan dan pemikiran biasa.
2. Poppy Playtime
Walaupun nama 'Huggy Wuggy' kedengaran seperti beruang yang manja, watak ini sebenarnya menyampaikan perlakuan negatif. — Agensi
Watak seperti Huggy Wuggy dari permainan video Poppy Playtime juga telah meresap masuk ke dalam video YouTube dan TikTok dalam bentuk animasi, lagu dan parodi.
Walaupun nama 'Huggy Wuggy' kedengaran seperti beruang yang manja, watak ini sebenarnya menyampaikan perlakuan negatif seperti memeluk secara paksa, serta mendorong kepada keganasan dan penderaan verbal.
Laporan oleh NSPCC UK (National Society for the Prevention of Cruelty to Children) menyebut bahawa kanak-kanak seawal usia 4 tahun yang menonton video itu mengalami mimpi buruk, rasa takut dan gelisah.
Hal ini kerana ada sesetengah video yang dimuat naik secara tidak bertanggungjawab turut diselitkan dengan elemen 'jump scare' di mana watak tersebut muncul secara mengejut bagi menakutkan penonton, terutamanya kanak-kanak kecil.
3. Rainbow Friends
Pendedahan kanak-kanak kepada elemen seram seperti watak Rainbow Friends boleh membawa kepada gangguan emosi seperti kegelisahan. — Agensi
Berasal daripada permainan popular di Roblox, Rainbow Friends menggabungkan watak berwarna-warni yang kelihatan mesra.
Namun, permainan tersebut dan kandungan animasinya turut menyelitkan unsur kejutan seram dan elemen ketakutan melampau yang boleh memberi kesan buruk kepada emosi anak.
Dalam perkongsian di laman Youtube, watak animasi itu memainkan peranan sebagai murid sekolah yang mengikuti lawatan sambil belajar, tetapi akhirnya terperangkap di sebuah taman tema terbiar yang menyeramkan.
Mereka perlu menyelesaikan pelbagai tugasan sambil mengelak daripada ditangkap makhluk-makhluk berwarna-warni yang kelihatan mesra tetapi sebenarnya menakutkan.
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), pendedahan kanak-kanak kepada elemen seram boleh membawa kepada gangguan emosi seperti kegelisahan, kebergantungan berlebihan kepada ibu bapa, dan fobia yang terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian.
4. Cocomelon
Cocomelon boleh menyebabkan kanak-kanak sukar fokus dalam dunia sebenar, lebih-lebih lagi jika kerap ditonton tanpa had masa. — Agensi
Berbeza dengan kandungan lain, Cocomelon tidak mengandungi unsur ganas atau seram.
Namun, pakar menyuarakan kebimbangan terhadap gaya penyampaian yang terlalu laju, warna yang terlalu terang, dan lagu yang berulang-ulang, yang boleh menyebabkan overstimulation.
Animasi itu juga boleh menyebabkan kanak-kanak sukar fokus dalam dunia sebenar, lebih-lebih lagi jika kerap ditonton tanpa had masa.
Menurut kajian oleh Journal of Pediatrics (2022), pendedahan kepada kandungan YouTube seperti Cocomelon dikaitkan dengan masalah tumpuan dan kelewatan perkembangan bahasa atau speech delay dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
Tambahan pula, screen dependency disorder (gangguan ketagihan skrin) kini semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur enam tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram