
DALAM era digital yang semakin canggih, taktik penipuan dalam talian atau 'scam' kini menjadi semakin licik dan sukar dikesan, menyebabkan ramai pengguna termasuk golongan celik teknologi terus terperangkap dalam jerat penjenayah siber.
Penjenayah kini bukan sahaja menyamar sebagai penjual barangan harian seperti telur dan kuih-muih dengan menawarkan harga yang terlalu murah, malah turut menggunakan modus operandi menyamar sebagai wakil agensi kerajaan termasuk menerusi bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Lebih membimbangkan, penipuan kini melibatkan eksploitasi data peribadi mangsa menerusi pautan palsu, yang bukan sahaja menyebabkan kehilangan wang dalam e-dompet dan akaun bank, tetapi juga akses kepada nombor telefon serta aplikasi pemesejan seperti WhatsApp.
BACA LAGI : [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom
Melalui perkongsian Ketua Balai Polis Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Superintenden Polis, Devan Raman, salah satu kes terbaru yang dilaporkan melibatkan seorang mangsa yang tertarik dengan iklan penjualan telur pada harga murah di media sosial baru-baru ini.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa tertarik dengan satu iklan penjualan telur harga runtuh yang dipaparkan di platform media sosial Facebook.
"Mangsa membuka pautan iklan tersebut yang kemudiannya mengarahkannya ke aplikasi WhatsApp.
"Di sana, dia berurusan dengan seorang individu yang meminta mangsa menekan satu lagi pautan kononnya bagi tujuan pengesahan,” jelas beliau melalui satu perkongsian video di laman Facebook pada Selasa.
Namun jelasnya, sebaik pautan itu ditekan, telefon bimbit mangsa terus 'blackout' (terpadam) dan gagal dihidupkan semula.
Lebih mengejutkan, aplikasi WhatsApp miliknya tidak lagi dapat diakses dan nombor telefon tersebut kemudiannya digunakan oleh scammer untuk menghubungi kenalan mangsa dan meminta bantuan kewangan.
Tambah Devan, mangsa juga mendapati sejumlah wang sebanyak RM2,700 dalam akaun dompet digital (eWallet) miliknya telah hilang, dipercayai digodam melalui pautan berkenaan.
"Ini bukan kes terpencil. Beberapa kes lain melibatkan jual beli kuih-muih dan penyamaran agensi kerajaan juga dilaporkan dengan modus operandi yang hampir sama,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu menarik atau mesej mencurigakan di media sosial.
Orang awam dinasihati untuk tidak membuka sebarang pautan yang dihantar oleh individu tidak dikenali, walaupun kelihatan meyakinkan. — Gambar Hiasan
"Kes ini bukan yang pertama melibatkan barangan keperluan seperti telur atau kuih-muih dijual pada harga terlalu murah menerusi media sosial, yang akhirnya menjadi perangkap penipuan.
"Pengguna perlu faham, bukan semua harga murah itu benar. Kadang-kadang kita terpedaya sebab nak jimat sangat, sampai tak semak sumbernya.
"Jangan sesekali klik sebarang pautan yang dihantar oleh individu tidak dikenali, walaupun kelihatan meyakinkan.
"Laporkan kepada pihak polis atau semak dahulu dengan sumber rasmi sebelum membuat sebarang transaksi," tegas beliau.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk terus mendidik masyarakat menerusi sesi penerangan dan libat urus bersama komuniti bagi membendung jenayah siber yang semakin kompleks ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram