Guru taska wanita ditampar perompak 2 kali depan murid di Sabak Bernam, berputih mata hilang rantai emas, telefon pintar


  • 112
  • Selasa, 22 Apr 2025

Keadaan taska yang disamun dalam kejadian itu di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam. — Facebook PDRM

SUASANA di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Tali Air 11, Pasir Panjang dekat Sabak Bernam, Selangor bertukar cemas apabila tiga lelaki bersenjatakan parang menceroboh premis itu tersebut pada Isnin.

Dalam insiden kira-kira pukul 9.35 pagi itu, dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu ketibaan kanak-kanak sebelum dikejutkan dengan kehadiran tiga suspek yang menaiki sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek merupakan lelaki tempatan dan bersenjatakan parang ketika memasuki premis berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom

"Suspek melarikan dua rantai emas serta sebuah telefon bimbit milik dua guru wanita yang berada di lokasi kejadian.

"Salah seorang suspek bertindak agresif dengan menampar mangsa di pipi kiri dan kanan, menyebabkan guru tersebut mengalami trauma,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, ketika kejadian terdapat 10 kanak-kanak di dalam premis, namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, antara barangan yang dilarikan ialah dua rantai emas dan sebuah telefon bimbit jenama Realme.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan menggunakan senjata, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Dalam perkembangan terbaharu, dua daripada suspek berjaya ditahan pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar Kelana Jaya dan Shah Alam, Selangor.

Pihaknya bagaimanapun masih lagi mengesan seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tempatan itu mengaku terlibat dalam kes itu.

Polis juga merampas sebuah Perodua Bezza yang digunakan suspek dalam kejadian itu selain sebilah parang sepanjang 72 sentimeter (cm).

Tambahnya, dua suspek berkenaan turut disahkan positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta samun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram