
DUA beranak berdepan dengan detik menakutkan selepas diacukan senjata tajam dalam satu kejadian samun di sebuah kedai bunga di sekitar Jenjarom dekat Kuala Langat, Selangor pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 49 tahun kerugian kira-kira RM4,000 setelah rantainya lehernya dilarikan penyamun itu.
Bagaimanapun, mangsa dan anaknya berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jasad lelaki hanyut dibawa arus gemparkan penduduk Langat
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin, polis menerima laporan daripada mangsa kira-kira pukul 4.50 petang hari sama berhubung kejadian itu.
"Kejadian berlaku ketika mangsa dan anaknya yang berada di kedai bunga didatangi sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti.
"Kumpulan suspek itu yang bertutup kepala dan bersenjatakan parang bertindak mengacukan parang.
"Suspek kemudiannya menarik rantai emas di leher mangsa lalu melarikan diri menaiki kereta ke arah tidak pasti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, usaha mengesan kumpulan suspek terlibat sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222.
Terdahulu, tular tiga rakaman televisyen litar tertutup memaparkan aksi samun bersenjata itu di di laman Facebook Banting Kini sehingga menyebabkan kegusaran orang awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram